Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'AMANAH cetus perbalahan sia-sia'
Diterbitkan:  Feb 2, 2018 9:29 PM
Dikemaskini: 2:13 PM

Pengerusi jawatankuasa pilihan raya Selangor Dr Xavier Jeyakumar yang dipersoalkan mandatnya itu membidas kenyataan pimpinan AMANAH kerana 'menunda' urusan rundingan kerusi HARAPAN.

Xavier dalam kenyataan media hari ini berkata jawatankuasa itu telah bertemu empat kali dan semasa mesyuarat terakhir mereka, AMANAH meminta diadakan mesyuarat berasingan bagi merundingkan kerusi.

"Telah dipersetujui kesemua parti-parti (HARAPAN) akan menghantar wakil mereka untuk perbincangan lanjut.

"Saya menekankan hal ini, sebenarnya tidak perlu untuk dibentuk satu lagi jawatankuasa baru dan hanya setelah permintaan AMANAH dibuat, maka rundingan menjadi tertunda," kata Xavier merangkap Naib Presiden PKR itu.

Beliau berkata jawatankuasa pilihanraya negeri Selangor itu telah diarahkan Majlis Presiden HARAPAN untuk mempercepatkan perundingan dan berharap suatu mesyuarat dapat dipanggil dalam masa terdekat.

Xavier juga mengulang gesaan beberapa pimpinan PKR negeri untuk merapatkan saf dan tidak membincangkan isu-isu sebegini di mata orang ramai.

"Tidak patut AMANAH membawa hal ini secara terbuka dan mencipta perbalahan sedangkan tidak ada hal yang sebegitu.

"Tolonglah bekerjasama dan siapkan tugas kita. Matlamat utama kita adalah untuk mempertahankan Selangor," katanya lagi.

Semakan dengan kesemua empat parti komponen HARAPAN Selangor mendapati mereka memiliki kefahaman berbeza berhubung fungsi jawatankuasa tersebut.

Pimpinan AMANAH, BERSATU dan DAP memberitahu Malaysiakini mandat jawatankuasa itu untuk membincangkan strategi manakala pimpinan PKR berkata rundingan kerusi merupakan sebahagian daripada perbincangan.

Sebelumnya,  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga timbalan presiden PKR menegaskan jawatankuasa itu telah bertemu sebanyak empat kali untuk membincangkan rundingan kerusi dan 80 peratus kerusi telah dimuktamadkan.

Namun demikian, Pengerusi DAP Selangor Tony Pua menyatakan tidak tahu-menahu berkenaan hal tersebut.

"Saya tidak sedar 80 peratus kerusi telah dirundingkan kerana kami tidak pernah ditanya," beliau memberitahu Malaysiakini.

Difahamkan akar permasalahan berpunca daripada pembahagian 20 kerusi yang sebelumnya ditandingi PAS di bawah Pakatan Rakyat.

Keadaan menjadi memanas hari ini apabila pemimpin PKR Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa AMANAH 'berbohong' berkenaan status rundingan kerusi.

Hal ini mendorong pemimpin AMANAH Selangor Izham Hashim menggelar Azmin sebagai 'badut' dan menegaskan rundingan kerusi belum lagi dimulakan.
 

Lihat Komen
ADS