Pembeli saman pemaju dan Yayasan Islam Kedah
Seramai 78 pembeli lot kedai di Simpang Kuala, Alor Star, Kedah mengambil tindakan undang-undang terhadap Yayasan Islam Negeri Kedah (Yink) dan pemaju Dayani Sdn Bhd, bagi menuntut gantirugi kerana didakwa gagal mematuhi perjanjian untuk memberi geran hakmilik.
Seramai 78 pembeli lot kedai di Simpang Kuala, Alor Star, Kedah mengambil tindakan undang-undang terhadap Yayasan Islam Negeri Kedah (Yink) dan pemaju Dayani Sdn Bhd, bagi menuntut gantirugi kerana didakwa gagal mematuhi perjanjian untuk memberi geran hakmilik.
Pembeli berkenaan, yang diwakili oleh firma guaman Yang Lim and Co, memfailkan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Alor Setar Isnin lalu, dengan menamakan Dayani sebagai defendan pertama dan Yink defendan kedua
Peguam Lim Yang Yang berkata, tindakan tersebut diambil kerana Yink dan Dayani gagal mematuhi perjanjian untuk mengeluarkan geran hakmilik individu kepada para pembeli, dalam tempoh masa yang munasabah.
Katanya, para pembeli juga menuntut Yink dan Dayani membayar sejumlah pampasan kerana kegagalan mematuhi perjanjian tersebut.
Beliau berkata, pegawai Yink memberitahu baru-baru ini bahawa yayasan itu telah membayar premium tanah sebanyak hampir RM1 juta kepada Pejabat Tanah Kedah.
Bagaimanapun, katanya, jumlah itu boleh dianggap kecil kerana tunggakan bayaran premium yang sepatutnya dibayar kepada pejabat tanah tersebut, berjumlah RM7.8 juta, bagi membolehkan geran hakmilik itu dikeluarkan kepada para pembeli.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankusa Bertindak Pembeli Lot Kedai Simpang Kuala, Abdul Samad Abdul Karim ketika dihubungi berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan undang-undang kerana para pembeli sudah terlalu lama menunggu geran hakmilik itu.
Bayaran premium
"Kami sudah memberi mereka masa yang lama untuk menyelesaikan masalah tersebut tetapi sehingga sekarang masih gagal," katanya.
Beliau berkata, pelbagai usaha telah dilakukan sebelum ini, termasuk menemui pegawai Yink, kerajaan negeri, menemui pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Pejabat Tanah.
Abdul Samad mengesahkan beliau mendapat surat dari Yink yang memberitahu bahawa yayasan itu telah membayar cukai premium tanah sebanyak RM803,000 kepada Pejabat Tanah baru-baru ini.
"Surat bertarikh 29 ogos itu ditandatangani oleh Pengurus Besar Yink, Bakar Din dan dipercayai turut dihantar kepada pembeli lain," katanya.
Menurutnya lagi, kegagalan mendapatkan geran individu menyebabkan pembeli menghadapi pelbagai masalah seperti tidak menjual lot kedai tersebut dan tidak boleh membuat pinjaman bank untuk memperbesarkan perniagaan.
Sementara itu, Bakar tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen berhubung tindakan mahkamah tersebut.
Jurucakap yayasan itu berkata, hanya Bakar yang boleh mengeluarkan kenyataan berhubung dengan tindakan mahkamah itu.

