Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M sindir undangan Ku Nan bertanding di Putrajaya

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang sebelum ini mengundangnya untuk bertanding di Putrajaya, sebuah kerusi Parlimen yang wujud sejak tahun 2004.

"Saya hanya ingin berterima kasih kepadanya, saya gembira beliau mengalu-alukan kehadiran saya di Putrajaya," kata bekas perdana menteri itu dengan nada sarkastik pada sidang media hari ini.

"Sebelum ini tiada Putrajaya, saya tidak tahu mengapa ia terjadi," katanya lagi.

Baru-baru ini, Mahathir bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali melawat sebuah pasar malam di Putrajaya.

Ia mengundang sindiran Tengku Adnan, yang merupakan anggota parlimen di situ, dengan berkata beliau simpati dengan Mahathir yang sudah tua.

"Saya simpati kepadanya ketika dia melawat pasar malam, dia orang tua. Kita lihat Siti Hasmah tak boleh jalan, dia perlukan orang memimpinnya.

"Kenapa dia berbuat begitu, kenapa dia lawat pasar malam? Kita tak tahu," kata Tengku Adnan.

Mahathir sebelum ini menyatakan beliau sudah mempunyai pilihan kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya umum akan datang, iaitu di Putrajaya, Langkawi atau Kubang Pasu.

Berhubung rundingan kerusi HARAPAN, Mahathir berkata beberapa negeri seperti Selangor dan Negeri Sembilan diberi lebih masa untuk menyelesaikan rundingan - walaupun tarikh akhir asal untuk negeri semenanjung menyelesaikan rundingan adalah 31 Januari, yang ditangguh kepada 7 Februari.

Mahathir berkata rundingan di kebanyakan negeri sudah selesai.

Beliau juga berkata tidak tahu menahu tentang formula pengagihan 60:40 bagi kerusi di Sabah seperti yang dilaporkan sebelum ini.

"Kami tidak tahu tentang kuota ini, mereka belum beritahu saya. Saya akan tanya mereka dan maklumkan kepada anda nanti," katanya.

"Kami mengarahkan HARAPAN SAbah untuk berkerja bersama Parti Warisan Sabah (WARISAN) kerana parti ini mempunyai matlamat yang sama dengan kami, iaitu menyingkirkan kerajaan yang korup," katanya.

Pada 24 Januari lalu, Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong mendedahkan HARAPAN negeri itu akan mencadangkan formula pengagihan 60:40 kepada WARISAN.

Kenyatannya kemudian disangkal Pengerusi HARAPAN Sabah Christina Liew.

Menurut formula itu, WARISAN akan bertanding di 60 peratus kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala HARAPAN akan bertanding di 60 peratus kerusi parlimen.

Lihat Komen
ADS