Kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa agama Kristian mengamalkan 'kasta' dan paderi dianggap suci adalah satu pentafsiran yang salah, kata Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia Hermen Shastri.

"Kasta bukan asas (integral) dalam doktrin dan amalan agama Kristian.

"Manakala paderi tidak dianggap sebagai suci dan tidak boleh disanggah, walaupun mereka menjalankan tugas-tugas suci bagi pihak penganut agama dan menjalani kehidupan yang kudus," katanya (gambar) dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi yang disiarkan Harakahdaily hari ini berhubung laporan yang mengatakan kerajaan PAS akan membentuk kabinet berbeza antara umat Islam dan bukan Islam.

Dalam penjelasannya, Abdul Hadi berkata cadangan itu bukan usaha untuk memperkenalkan sistem "kasta agama" yang menurutnya wujud dalam agama Hindu dan Kristian.

Abdul Hadi berkata, ia berbeza dengan Islam di mana golongan ulama tidak dianggap suci, tidak terlepas daripada dosa dan perlu bertaubat, seperti umat Islam lain.

Shastri menggesa Abdul Hadi menarik balik kenyataan tersebut yang menurutnya tidak wajar.

"Jika tidak ia akan melukakan perasaan penganut agama Kristian dan menjejaskan keharmonian antara agama di negara ini," katanya lagi.