Malaysia terjejas, saham Asia Tenggara merudum
Pasaran saham Asia Tenggara mengalami kerugian besar hari ini, menjadikannya kejatuhan dua hari berturut-turut dengan sebahagian besar pasaran kehilangan semua keuntungan yang dibuat Januari lalu.
Suasana merudum itu turut melanda pasaran di seluruh dunia.
Reuters melaporkan Wall Street menjunam dalam dagangan yang terumbang ambing, dengan indeks S&P 500 dan Dow Industrials merosot lebih daripada empat peratus. Dow mencatatkan kejatuhan sehari yang terbesar dalam sejarah dengan kehilangan hampir 1,600 mata.
Para pelabur mejauhkan diri daripada saham ekuiti berikutan kebimbangan dengan kenaikan mendadak dalam hasil bon AS susulan data Jumaat lalu yang memperlihatkan upah atau gaji AS meningkat pada kadar terpantas sejak tahun 2009 dan dengan pengangguran yang lebih rendah.
Ini juga mengundang kebimbangan terhadap inflasi yang lebih tinggi yang berpotensi menyaksikan kenaikan kadar faedah lebih tinggi.
Saham Asia menjunam, dengan indeks saham Asia Pasifik MSCI di luar Jepun jatuh sebanyak 4.1 peratus - kejatuhan terburuk sejak Jun 2016.
Walau bagaimanapun, ketua penyelidikan di Mirae Asset Sekuritas, Taye Shim, berkata tindak balas pasaran sedikit diperbesar-besarkan.
"Kami melihat keadaan di mana harga seolah-olah meningkat dengan sedikit cepat. Bagaimanapun, saya tidak percaya kita berada dalam keadaan gelembung," katanya.
Pembetulan itu mungkin berterusan seketika dan memberi peluang terbaik untuk pelabur mengumpul aset yang menarik, kata Shim.
Vietnam, yang pada penutupan Jumaat lalu merupakan satu-satunya pasaran saham di Asia Tenggara yang mencatatakan keuntungan dua angka tahun ini, merosot sebanyak 6.3 peratus dalam sesi hari ini, penurunan paling curam dalam sehari sejak Oktober 2001.
Manakala saham Filipina jatuh sebanyak 2.7 peratus.
Saham Malaysia pula menjunam sebanyak 3.1 peratus, kejatuhan dalam sehari yang terbesar sejak April 2013.
Pada penutup, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 40.62 mata atau 2.19 peratus kepada 1,812.45 dari penutupan 1,853.07 semalam.
Indeks bergerak antara 1,795.85 dan 1,820.37 sepanjang hari selepas dibuka 38.64 mata lebih rendah pada 1,814.43.
FBMACE pula pada 6,141.41 turun 210.02 mata dan FBMEmas pada 12,927.01 jatuh 293.68 mata.
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 1,208 berbanding 119, manakala 203 kaunter tidak berubah.
Jumlah dagangan bagaimanapun meningkat kepada 5.20 bilion saham bernilai RM5.32 bilion daripada 2.65 bilion saham bernilai RM2.84 bilion semalam.

