Paling Popular
Terkini

EKSKLUSIF | Tanpa berkias Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai tokoh yang sangat dihormati, berpengalaman dan mendapat sokongan penuh daripada PAS.

Katanya kesanggupan bekas menteri besar Selangor itu membantu PAS memang sangat dihargai.

"Kita (PAS) sangat menghormati Khalid kerana ketokohan beliau semasa menjadi menteri besar.

"Beliau seorang menteri besar yang bersih. Kita hormati ketokohan beliau dan kesanggupan beliau bersama membantu PAS disanjung tinggi," katanya.

Abdul Hadi ditemui Malaysiakini di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur kelmarin.

Khalid adalah menteri besar pertama di Selangor yang bukan mewakili BN. Beliau yang sebelum ini dikenali sebagai tokoh korporat dilantik ke jawatan itu apabila Pakatan Rakyat berjaya menguasai Dewan Undagan Negeri Selangor pada 2008.

Asal bukan Azmin

Bagaimanapun berlaku gerakan menggantikan Khalid dengan PKR cuba menempatkan presiden mereka Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bagaimanapun cubaan itu gagal dan ketika krisis berlangsung PAS kemudian berpihak kepada Khalid. Sejak itu hubungan kedua-dua pihak menjadi semakin akrab.

Khalid kini menjadi wakil rakyat bebas - bagi kawasan DUN Pelabuhan Kelang dan parlimen Bandar Tun Razak - selepas dipecat PKR.

Dengan kedudukannya itu Khalid baru-baru ini menyatakan kesanggupannya membantu PAS. Pada masa sama untuk rekod bekas setiausaha agung PKR itu juga pernah mengikrarkan kesanggupan sama kepada Umno Selangor.

Pendirian yang dilihat bercanggah itu - kerana status PAS dan Umno yang berada pada sisi berbeza - mendorong Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali meminta Khalid menjelaskan siapa sebenarnya yang akan dibantu.

Menjawab kenyataan Azmin itu Khalid berkata beliau berhak untuk memberi sokongan kepada sesiapa saja yang dirasakan perlu, kecuali Azmin.

Kata Khalid wakil rakyat Bukit Antarabangsa itu "akan merugikan rakyat Selangor lebih RM2 bilion" dalam isu penyusunan semula industri air Selangor.

Cakap bebas, kerjasama masing-masing

Menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi menyatakan keterbukaan mereka menawarkan kerusi kepada Khalid walaupun sebelum menjadi anggota parti itu.

Bagaimanapun Naib Presiden PAS dan exco kanan Selangor, Datuk Iskandar A Samad mendakwa media tersalah tafsir semasa memetik kenyataan Sallehen.

Kata Abdul Hadi PAS memang berharap Khalid dapat terus bersama parti berkenaan.

Semasa menjadi menteri besar kata Abdul Hadi exco PAS memberikan kerjasama serta sokongan yang penuh kepadanya.

Sementara itu ditanya mengenai pertemuan Abdul Khalid dengan Umno ebelum ini, anggota parlimen Marang itu berkata dalam sebuah negara demokrasi semua orang berhak bercakap atau berhubung dengan sesiapa yang dimahukan.


Siri 1: Kritikan idea dwikabinet tak betul


"Dalam negara demokrasi kita boleh bercakap dengan semua orang.

"Bercakap boleh, berhubung boleh (tapi) masalah kerjasama itu hal yang lain dan terpulang kepada masing-masing.

"Tapi apa yang penting sekarang adalah beliau (Khalid) sanggup tolong PAS walaupun bukan ahli PAS," katanya.

Bagaimanapun ketika ditanya kemungkinan Khalid bertanding dalam PRU ke-14 atas tiket PAS, Abdul Hadi menyerahkan isu itu kepada PAS Selangor dan pusat.

"Itu terpulang kepada PAS nnegeri dan pusat, kita mengalu-alukan dan terpulang kepada penerimaan (Khalid).

"Kita harap insya-Allah beliau dapat bersama dengan kita, apatah lagi kita nak memperkenalkan kerajaan teknokrat dan itu sangat penting," katanya.

Lihat Komen
ADS