Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ASEAN akui keganasan ancaman paling serius terhadap rantau ini

Para menteri Pertahanan ASEAN semalam sebulat suara memperakui keganasan sebagai ancaman keselamatan paling serius bagi rantau ini.

Mereka bersetuju untuk meningkatkan kerjasama memerangi keganasan dalam bidang ‘Resilience, Response, Recovery’ yang akan berperanan mencegah serangan pengganas, menyelaras tindak balas ASEAN bagi menangani ancaman sedia ada dan pulih daripada sebarang serangan pengganas yang berlaku.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di Singapura, Kementerian Pertahanan Singapura (Mindef) berkata menteri-menteri juga memuji kerjasama kukuh dengan negara rakan dalam menentang keganasan menerusi ‘ADMM-Plus’.

Seiring dengan ini, menteri-menteri mengeluarkan Kenyataan berkenaan Memerangi Keganasan di ASEAN, demikian menurut kenyataan itu.

Pemukiman ADMM dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen.

Malaysia diwakili Menteri Pertahanannya Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menurut Mindef, menteri-menteri juga membincangkan tentang peranan ADMM dan ADMM-Plus dalam keselamatan serantau.

Menteri-menteri menzahirkan sokongan padu terhadap bidang-bidang ADMM 2018 yang diringkaskan sebagai “tiga C”.

Pertama, meningkatkan kerjasama memerangi keganasan; kedua, menambah baik keupayaan bersama ASEAN untuk bertindak balas terhadap ancaman kimia, biologi dan radiologi (CBR) oleh kumpulan pengganas dan pihak yang berkaitan; dan ketiga, mengulangi penegasan akan kepentingan kod pertembungan tidak dirancang di laut dan udara, katanya.

Para menteri pertahanan ASEAN juga mengadakan mesyuarat tidak rasmi dengan Menteri Pertahanan China Jen. Chang Wanquan yang menyaksikan mereka mengalu-alukan hubungan lebih kukuh di antara ASEAN dan China.

Para menteri membincangkan, khususnya tentang cara menambah baik kerjasama praktikal dan menyambut baik Eksesais Maritim ASEAN-China yang pertama pada hujung tahun ini, katanya.

Sebagai sebahagian program Pemukiman ADMM, para menteri pertahanan ASEAN juga melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong yang meraikan mereka dalam jamuan tengah hari di Pusat Pameran Changi, venue Pameran Udara Singapura 2018 yang sedang berlangsung.

Semasa kunjungan itu, Lee dan para menteri Pertahanan ASEAN membincangkan tentang isu keselamatan serantau dan agenda ADMM pada tahun depan.

Singapura merupakan pengerusi ASEAN semasa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS