Wanita ditemui mati ditetak di bilik hotel
Seorang wanita berusia lingkungan 30-an ditemui mati dengan kesan tetakan pada kepala di atas katil bilik hotel di Pekan Batu 11, Balakong, Kajang petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata polis menerima maklumat daripada pihak hotel itu mengenai pelanggan yang tidak mendaftar keluar selepas pukul 12 tengah hari semalam sebelum pasukan polis membuka pintu bilik lalu menemui mayat mangsa dalam keadaan terbaring berlumuran darah.
“Siasatan lanjut mendapati wanita berkenaan yang mula mendaftar masuk ke hotel itu sejak Ahad lepas mengalami kecederaan akibat tetakan di kepala,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata bangsa dan identiti mangsa belum dikenal pasti berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi kejadian.
Katanya polis sedang mengenalpasti identiti suspek dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.
Ahmad Dzaffir berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.
- Bernama

