Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan minat belian yang muncul semula dalam keadaan prestasi pasaran ekuiti tempatan yang bertambah baik.
Pada jam 9 pagi, ringgit berada pada 3.8970/9000 berbanding dolar AS daripada penutup 3.9135/9165 pada Selasa.
Seorang peniaga berkata indeks dolar AS, yang menjejaki prestasi dolar AS berbanding kumpulan mata wang lain juga meningkatkan dalam sesi-sesi sebelumnya apabila Wall Street pulih semula daripada penurunannya dan ini menyumbang kepada peningkatan ringgit.
Menurutnya, jualan dalam keseluruhan pasaran saham dunia menyebabkan para pelabur tergesa-gesa membeli dolar pada Isnin yang membantu mata wang AS itu pulih semula.
Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.
Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9554/9588 daripada 2.9632/9657 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.8276/8317 daripada penutup 4.8535/8580 pada Selasa.
Ringgit juga naik berbanding pound British kepada 5.4394/4440 daripada 5.4762/4808, dan meningkat berbanding yen kepada 3.5609/5646 daripada 3.5897/5934.
- Bernama

