Malaysiakini
BERITA

Pingat Husam, Wan Rahim ditarik istana Kelantan

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Feb 2018, 4:33 pagi

Dua pemimpin kanan Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan kini tidak lagi bergelar Datuk.

Mereka ialah Pengerusi AMANAH Kelantan yang juga bekas speaker dewan undangan negeri (DUN), Wan Abd Rahim Wan Abdullah, dan anggota DUN Salor, Husam Musa.

Husam juga naib presiden AMANAH yang dilantik.

Dalam kenyataannya hari ini Husam memberitahu pingat berkenaan diserahkan semula selaras dengan surat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan petang semalam.

Melalui surat itu katanya mereka dimaklumkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, bersetuju menarik balik tauliah pelantikan Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) yang telah dianugerahkan kepada mereka sebelum ini.

Penarikan balik itu, kata Husam, berkuat kuasa pada 6 Februari 2018.

"Menjunjung sebagaimana dititahkan, kami berdua telah mengembalikan ketandaan darjah kebesaran dan surat pelantikan yang berkaitan kepada Yang Amat Berusaha Pengelola Istana D’Raja pada hari ini, 7 Februari 2018 di Istana Balai Besar.

"Kami mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi menjunjung kasih dan mengulangi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhamad V," katanya.

Untuk rekod Husam dan Wan Abd Rahim adalah antara bekas pemimpin kanan Kelantan semasa bersama PAS suatu ketika dulu.

Kini cuma cikgu

Selain menjadi speaker DUN Kelantan Wan Abd Rahim juga pernah diberi kepercayaan sebagai pengarah pilihan raya PAS.

Husam pula pernah dilantik sebagai exco kanan semasa kerajaan negeri itu ditadbir Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Antara persamaan yang ada pada mereka ialah, kedua-duanya pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada bekas mursyidul am PAS itu.

Krisis dalaman PAS membawa kedua-dua mereka terkeluar daripada parti itu, dengan Husam dipecat atas alasan dia melanggar perlembagaan parti.

Pemecatan Husam itu diumum Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS, Dr Sanusi Daeng Mariok, pada 6 Mei 2016.

Mereka kemudian menyertai AMANAH.

Sementara itu semakan di akaun Facebook Wan Abd Rahim mendapati beliau memuat naik status ringkas kira-kira tengah malam tadi.

Tanpa memberi butiran lanjut bekas ADUN Tanjung Mas dan anggota parlimen Kota Bharu itu sekadar menulis namanya yang dikenali ramai sebelum ini: Cikgu Wan Rahim.

Semakan Malaysiakini terhadap laman sesawang Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, Husam dianugerahkan darjah kebesaran DJMK pada 2006.

Ketika itu dia masih menjadi exco Kelantan.

Wan Abd Rahim pula menerima pingat kebesaran itu dua tahun lebih awal, iaitu semasa masih berkhidmat sebagai speaker DUN Kelantan.

Sama ada Husam atau Wan Abd Rahim, kedua-duanya tidak menerima sebarang pingat kebesaran lain dari mana-mana negeri atau peringkat persekutuan.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.