Kumpulan agama bukan Islam terbesar di Malaysia menyifatkan objektif yang dinyatakan oleh PAS - teokrasi Islam dan pelaksanaan hukum hudud - sebagai tidak berperlembagaan.

Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST)
berkata demikian dalam satu kenyataan media bagi menjawap kenyataan bercanggah oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai cadangan penubuhan "dua kabinet".

Walaupun Abdul Hadi telah menafikan mengeluarkan kenyataan sedemikian, MCCBCHST berkata mereka terpaksa mengemukakan pandangan kritikal kerana matlamat PAS dan sejarahnya sejak 1993 mahu mencapai cita-cita teokratik.

Pertama, kumpulan itu berhujah undang-undang syariah dan undang-undang lain adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, kerana Perkara 4 (1) secara jelas menyatakan bahawa ia adalah "undang-undang tertinggi" negara ini.

Merujuk buku Document of Destiny: The Constitution of the Federation of Malaysia, karya pakar perlembagaan Shad Saleem Faruqi, kumpulan itu berkata bahawa semua undang-undang lain mesti mematuhi perlembagaan.

"Oleh itu, semua undang-undang lain termasuk syariah dan undang-undang Islam adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan," kata MCCBCHST.

Kumpulan itu berkata semua dokumen bersejarah utama seperti Memorandum Perikatan 1956, Laporan Suruhanjaya Reid 1957, Kertas Putih Jun 1957, Laporan Suruhanjaya Cobbold 1962 dan Perjanjian Malaysia 1963, tidak menunjukkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

"(Ini adalah) dalam erti kata bahawa 'Islam' yang disebut dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bukan bermaksud untuk menjadi addin (cara hidup)," kata kumpulan itu.

Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa "Islam adalah agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalakan secara aman dan harmoni di mana-mana bahagian Persekutuan."

[Baca berita penuh]