Seorang penolong pegawai kesihatan persekitaran Majlis Perbandaran Segamat (MPS) direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes menerima wang rasuah sebanyak RM5,000.
Tempoh reman sehingga 13 Feb terhadap suspek berusia 57 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Ahmad Shakib Ismail di Mahkamah Majistret Segamat di Segamat, hari ini.
Penahanan reman itu dibuat bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap SPRM, tiba di perkarangan mahkamah pada 9.29 pagi diiringi pegawai daripada agensi berkenaan.
Semalam, media melaporkan suspek ditahan kira-kira 2.30 petang ketika memberi keterangan di pejabat SPRM di Segamat.
Hasil siasatan mendapati suspek disyaki menerima rasuah daripada pengurus sebuah syarikat pengurusan program dan acara sebagai balasan menyokong permohonan mereka menganjurkan program di daerah Segamat tahun ini. -Bernama
