Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
UMMAH mahu fail semakan kehakiman dalam kes Indira

Gabungan NGO Islam yang dikenali sebagai Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) akan mengusulkan semakan kehakiman berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan bagi kes Indira Ghandi.

Ketua Sekretariatnya Aminuddin Yahaya berkata, perkara itu dibuat bagi mengangkat kuasa mahkamah syariah.

“Perkara ini diusulkan atas beberapa faktor iaitu utama yang kita lihat huraian penghakiman di mahkamah persekutuan seolah-olah diberi kuasa eksklusif kepada mahkamah sivil untuk campur tangan melibatkan mahkamah syariah.

“Perkara-perkara mahkamah syariah selama-selama tunduk pada mahkamah sivil. Jadi perkara ini harus dilihat balik malah kita rasa tak selari dengan peruntukan meletakkan Islam sebagai agama persekutuan,” katanya.

Katanya lagi, UMMAH akan membuat permohonan semakan kehakiman itu dalam masa terdekat.

“Mungkin pada minggu ini atau minggu depan. Kami bukan bermaksud mempersoalkan keputusan mahkamah itu, tetapi berpandangan ada perkara-perkara yang perlu diperjelaskan kerana telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Aminuddin berkata demikian selepas Sidang Meja Bulat UMMAH kesan Kes Indira Ghandi ke atas perundangan di Kuala Lumpur International Hotel, hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan menetapkan bahawa penukaran agama tiga anak Indira Gandhi oleh bapa mereka yang memeluk agama Islam hampir 10 tahun lalu terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Terdahulu hadir sama dalam sidang meja bulat itu Pengerusi UMMAH Ismail Mina Ahmad, Mufti Pahang Datuk Seri Abd Rahman Osman, Ketua Lajnah Strategik Majlis Ijtihad Ummah Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi.

Selain itu hadir sama dalam persidangan itu Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang dan Mantan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz.

Sementara itu, Aminuddin juga berkata pihaknya juga akan meminta Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu bagi meredakan kegelisahan di kalangan umat Islam.

“Kita juga bersetuju memikirkan meminta majlis raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong menyatakan dan menitahkan perkara ini kerana perkara ini menimbulkan kegusaran yang sangat besar di kalangan rakyat dan timbul ketegangan.

“Kalau boleh dimohon perkenan majlis raja-raja mengeluarkan kenyataan untuk meredakan suasana menggelisahkan umat Islam,” katanya.

Lihat Komen
ADS