Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khalid: PAS Selangor usah bertingkah
Diterbitkan:  Feb 7, 2018 5:23 PM
Dikemaskini: 9:33 AM

Bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menasihati PAS Selangor supaya tidak bertelingkah sesama sendiri mengenai langkah politiknya.

Hal itu kerana, kata Abdul Khalid, beliau sudah menegaskan pendiriannya untuk tidak bertanding mempertahankan apa-apa kerusi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Lebih daripada itu katanya sokongan yang diberikan beliau kepada PAS bukan mempunyai maksud tertentu, apatah lagi untuk mendapatkan jawatan atau sebarang status.

"Pencapaian saya setakat ini, alhamdulillah, saya amat bersyukur dan tidak ada keperluan untuk menambah apa-apa lagi," katanya dalam satu kenyataan umum.

Abdul Khalid adalah ialah menteri besar ke-14 Selangor dan wakil rakyat pertama bukan dari BN. Pelantikan tokoh korporat disegani ramai itu berlaku selepas PAS, PKR dan DAP berjaya memperoleh kerusi majoriti di Dewan Undangan Negeri Selangor melalui PRU ke-12 pada 2008.

Bagaimanapun politik dalaman PKR menyaksikan parti itu cuba mengetepikan Abdul Khalid daripada jawatan berkenaan dan menggantikannya dengan pemimpin lain.

Rakyat boleh menilai

Langkah itu tidak berjaya sepenuhnya walaupun Abdul Khalid memang dapat diketepikan, dan dipecat. Jawatan menteri besar kemudian diisi Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali.

Dalam proses menggantikan Abdul Khalid itu terjalin hubungan yang lebih erat antara beliau dengan PAS. Parti itu juga keberatan dengan langkah yang diambil PKR.

Keakraban PAS dan Abdul Khalid pernah mencetuskan khabar angin beliau akan menyertai parti berkenaan, namun ia terbukti tidak menjadi kenyataan.

Namun PAS dilihat cuba 'memikat' Abdul Khalid untuk bertanding menggunakan tiket PAS pada PRU ke-14. Namun wujud percanggahan pandangan di antara Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi dan naib presidennya Datuk Iskandar A Samad.

Abdul Khalid berkata buat masa ini beliau hanya mahu mencurahkan bakti untuk pembangunan ummah dan negara.

"Sebab itu saya menyokong PAS, kerana ia sebuah parti yang berasaskan kebajikan dan membuat kebajikan tanpa rasa takut atau mengharapkan balasan," katanya.

Namun kegusaran yang berlaku mengenai masa depan politiknya itu juga, kata Abdul Khalid, membayangkan ada pihak tidak senang dengan hubungannya bersama PAS.

Tanpa menyebut atau mendedahkan sebarang identiti wakil rakyat Pelabuhan Kelang itu menyerahkan kepada orang ramai untuk membuat tafsiran.

"Saya percaya rakyat boleh membaca (menilai) antara kebenaran dan hasutan," katanya.

PAS sedang giat membuat persediaan menghadapi PRU ke-14 dan Selangor adalah salah satu negeri yang disasarkan parti itu bersama gabungan Gagasan Sejahteranya.

Lihat Komen
ADS