Enam pengundi Segamat gagal cabar keputusan SPR
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan enam pengundi berdaftar kawasan pilihan raya Parlimen Segamat Segamat untuk membatalkan kemasukan dan / atau pengekalan 102 nama anggota tentera sebagai pengundi ke dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) 2017 di kawasan itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Kamaludin Md Said ketika menolak permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman yang difailkan itu berkata pemohon hendaklah menyelesaikan isu dalaman itu dengan SPR sebelum membawa kes ke mahkamah.
Keputusan itu dibuat di kamarnya.
Peguam R Sivarasa (foto, bawah), yang mewakilli enam pengundi itu, berkata mahkamah tidak membuat sebarang perintah terhadap kos dan pihaknya akan merayu terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Rayuan kerana ia melibatkan isu penting.

Enam pengundi iaitu Abu Bakar, 55, Azmi Othman, 43, A Gangadharam, 63, Johar Ahmad, 61, Khairudin Sagap, 56, dan Mohd Rizal Mohd Sohot, 46, adalah pemohon dalam kes ini.
Mereka menfailkan permohonan pada 21 Dis 2017 dengan menamakan SPR dan Pendaftar Pemilih Negeri Johor Shafie Taib sebagai responden pertama dan kedua.
Mereka antaranya memohon suatu perintah certiorari untuk membatalkan kemasukan dan/atau pengekalan 102 nama ke dalam RDPT dan suatu deklarasi bahawa kemasukan nama itu ke dalam RDPT adalah tidak berpelembagaan kerana tidak memenuhi keperluan Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan.

