Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

WAWANCARA l Apa pun isu yang melanda Pakatan Harapan, khususnya di Selangor, bukan lagi masalah PAS, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Anggota parlimen Marang menegaskan beliau kini hanyalah memberi fokus kepada kerja-kerja memenangkan PAS.

"Nasib HARAPAN (khususnya Selangor) saya tak tahu. Nasib ini ilmu tuhan dan tuhan sahaja yang tahu.

“Tetapi saya bekerja untuk memenangkan PAS. Itu saja.

“Jadi parti lain terpulang kepada mereka," kata Hadi dalam temubual bersama Malaysiakini di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadi mengulas situasi politik Selangor yang menyaksikan tiga parti komponen HARAPAN masih gagal mencari kesepakatan dalam pembahagian kerusi pilihan raya.

Keadaan juga semakin memburuk apabila Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR Selangor saling bidas membidas antara satu sama lain.

Pengerusi HARAPAN Selangor yang juga menteri besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali malam tadi memanggil mesyuarat empat komponen parti itu bagi membincangkan perkara itu.

'Hanya kerjasama jika tiada kepentingan'

Sementara itu, beliau berkata PAS bersedia bekerjasama dengan semua pihak yang memimpin kerajaan di Selangor, namun biarlah dengan pihak yang tidak mempunyai kepentingan.

"PAS bekerjasama dengan semua pihak yang memimpin kerajaan, tetapi pihak lain ada kepentingan. Kita tak ada kepentingan.

"Kita mengikut kerajaan yang memerintah di masa itu, ini sikap kita dan sikap ini dihormati," katanya.

Bagaimanapun, Hadi kesal dengan apa yang berlaku di Selangor apabila sumbangan PAS kepada parti pemerintah didakwa dipandang sepi.

"Sepatutnya mereka menyedari mereka masuk pilihan raya dengan jentera PAS. Hanya PAS yang ada kawasan, yang ada cawangan di seluruh negara.

“Mereka mana ada cawangan, mana ada kawasan.

"Mereka hanya bergerak atas angin sahaja untuk tumpang kita. Tiba-tiba mereka nak arah kita, nak jadikan kita sebagai anak tangga. Itu satu pendekatan yang salah," katanya.

Lihat Komen
ADS