Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
CNY: Diskaun tol untuk empat lagi lebuh raya
Diterbitkan:  Feb 8, 2018 7:49 AM
Dikemaskini: 11:57 PM

Kira-kira 653,500 pengguna empat lebuh raya di bawah kendalian Kumpulan Gamuda bakal menikmati diskaun tol antara 20 sen dan 60 sen sempena Tahun Baharu Cina minggu hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Litrak), Sazally Saidi berkata diskaun tol itu diberikan kepada pengguna semua jenis kenderaan di Leburaya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint) mulai pukul 12 tengah malam hingga 11.59 malam pada 16 Feb ini.

"Pengguna LDP pada hari itu nanti akan menikmati diskaun sebanyak 60 sen dan 20 sen bagi pengguna Lebuhraya Sprint, untuk pengguna Lebuhraya Shah Alam (Kesas), diskaun akan diberi sebanyak 20 sen kepada hanya pengguna kenderaan kelas satu.

"Pengguna kenderaan kelas satu dan empat di Lebuhraya Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (Smart) diskaun akan diberikan sebanyak 30 sen dari pukul 6 pagi pada Sabtu ini sehingga 6 pagi keesokannya," katanya pada sidang akhbar ketika program amal kumpulan di Rumah Perawatan Sentosa di Klang semalam.

Sazally berkata sehingga hujung tahun lepas, kumpulan telah memperuntukkan sebanyak RM15 juta untuk insentif tol sempena musim perayaan utama negara.

Pada majlis itu, seramai 30 sukarelawan dari Litrak, LDP, Sprint dan Smart menganjurkan program gotong-royong sebagai sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat mereka.

Antara pengisian program termasuk melakukan kerja membaiki dan mengecat Rumah Perawatan Sentosa yang menempatkan seramai 27 warga emas.

"Selain itu, kami turut menyumbangkan barang keperluan harian seperti lampin pakai buang, barangan dapur, alatan mandian dan ang pow kepada penghuni rumah ini," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS