Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Umno parti ultra populis, Najib lebih baik, demokratik, Islamik’
Diterbitkan:  Feb 8, 2018 11:55 AM
Dikemaskini: 4:00 AM

Umno adalah parti yang paling lama berkuasa di dunia dan mampu bertahan selama 72 tahun kerana sebabkan sifatnya yang ultra populis.

“Dikatakan ultra populis kerana Umno peka kepada keperluan rakyat, memahami aspirasi rakyat, menjaga hubungan baik dengan parti komponen, melindungi rakyat semua kaum, membantu rakyat miskin, dan menjaga kebajikan rakyat.

“Bukan hanya itu. Di bawah kepimpinan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak sekarang, Umno telah menjadi lebih baik, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak dalam hantaran terbaru di blognya.

Menurut Salleh yang juga adalah bendahari Umno, parti itu di bawah kepemimpinan Najib menjadi lebih baik, demokratik dan Islamik.

“Dikatakan demokratik kerana Najib boleh menerima perbezaan politik dan tidak pernah ada dalam rekod kepimpinannya yang rakyat mati atau cedera kerana perbezaan parti.

“Dikatakan Islamik kerana beliau sedia mengetepikan perbezaan politik dengan PAS demi kepentingan Islam, dan menjalin hubungan baik dengan kerajaan PAS Kelantan demi kesejahteraan orang Melayu Islam di negeri itu,” katanya.

Menurut Salleh, perdana menteri juga memperkenalkan Indeks Syariah, yang pertama seumpamanya di dunia untuk menilai dan mengukur keseriusan kerajaan dalam mencapai lima aspek Maqasid Syariah iaitu pemeliharaan agama, pemeliharaan nyawa, pemeliharaan akal, pemeliharaan keturunan dan pemeliharaan harta.

Hasil usaha kerajaan itu, katanya, menunjukkan Skor Indeks Syariah Malaysia bagi tahun 2017 adalah 76.06 peratus, meningkat 0.64 peratus berbanding skor pada 2015 iaitu 75.42 peratus.

Selain itu, katanya, di bawah pentadbiran Najib juga, Umno semakin mantap membela raja-raja Melayu, dan mempertahankan bangsa Melayu dan bumiputera.

“Sesungguhnya Umno pada hari ini adalah parti hebat yang akan memastikan Melayu tidak hilang di dunia, malah kekal maju dan progresif.

“Semua ini boleh dicapai kerana Umno di bawah kepemimpinan sekarang adalah parti demokrasi ultra populis yang mendapat sokongan padu majoriti orang Melayu dan rakyat Malaysia,” katanya.

Lihat Komen
ADS