Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes ‘goda’ isteri orang: Anak bekas TPM ke Bukit Aman
Diterbitkan:  Feb 8, 2018 12:28 PM
Dikemaskini: 7:05 AM

Bekas pemimpin Umno, Datuk Tamrin Ghafar mengesahkan satu pertemuan dengan pihak polis akan diadakan petang ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai status siasatan berhubung dakwaan salah laku membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

“Polis telah beri respons terhadap surat saya itu dan menetapkan pertemuan pada 8 Februari (hari ini) di Bukit Aman,” katanya yang dipetik oleh akhbar Sinar Harian, semalam.

Tamrin yang juga anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba berkata bahawa anggota polis sewajarnya berkhidmat untuk negara dan bukannya untuk melindungi individu berkepentingan.

Beliau sebelum ini adalah antara pemimpin yang menuntut Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberi penjelasan segera berhubung isu berkenaan.

Kemas kini terakhir daripada Mohamad Fuzi mengenai kes membabitkan Dzulkifli, adalah pada 6 Disember, 2017, di mana beliau berkata polis akan menyiapkan siasatan mereka dalam masa seminggu.

Polis sedang menyiasat Dzulkifli di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan atas dakwaan menggoda isteri orang susulan penyebaran tiga video pendek beliau berada di luar negara bersama seorang wanita yang menjadi tular di media sosial.

Kertas siasatannya telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebanyak tiga kali, tetapi setiap kali, semuanya ditolak dan dihantar kembali.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo turut membuat gesaan sama.

Katanya, polis telah lama mendiamkan diri mengenai perkembangan siasatan berhubung dakwaan 'hubungan sulit' dengan isteri orang itu.

 

Lihat Komen
ADS