Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Akhirnya anggota parlimen Pandan Rafizi Ramli menerima hukuman penjara 30 bulan selepas didapati bersalah melanggar Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia).

Ya benar akta ini digunakan di banyak negara. Satu dunia pakai akta ini.

Tindakan mendedahkan akaun persendirian mahupun korporat adalah kesalahan khusus dalam Akta Bafia. Jika akaun anda didedahkan pihak ketiga, anda juga boleh mengambil tindakan undang-undang yang sama terhadapnya.

Ini hal yang sangat jelas.

Namun pada pandangan saya, pelaksanaan akta seperti Bafia ini harus lebih fleksibel dan rasional. Pelbagai aspek perlu diambil kira seperti motif pendedahan dibuat.

Mahkamah bukan sekadar menjadi pelaksana undang-undang yang lurus menjatuhkan hukuman hanya kerana akta dilanggar. Ia juga bukan kalkulator dalam melaksanakan hukuman.

Mahkamah adalah tempat untuk mencari keadilan. Dan seperti yang kita sering tegaskan, adil bermaksud meletakkan sesuatu di tempatnya.

Apabila tiada pantauan

Saya bukanlah lepasan jurusan undang-undang. Namun saya atau sesiapa saja tidak perlu menjadi graduan undang-undang untuk memahami bagaimana mahkamah harus berfungsi.

Soal dakwaan penyelewengan yang berlaku wajar diambil kira. Sejumlah besar wang rakyat yang digunakan untuk projek menyediakan bekalan daging telah digunakan untuk perkara lain.

Pinjaman RM250 juta kepada National Feedlot Corporation (NFC) bukanlah nilai yang kecil. Ia adalah dana khas untuk melunaskan hasrat baik iaitu memastikan bekalan daging tempatan mencukupi.

Perbelanjaan wang itu sepatutnya dipantau, tetapi ia tidak berlaku. Maka sebab itulah munculnya seorang kerani yang berani bernama Johari Mohamad dan wakil rakyat yang berani mengambil risiko dipenjara seperti Rafizi untuk mendedahkan akaun NFC kepada media.

Akaun NFC bukan sekadar akaun persendirian atau korporat yang biasa. Ia akaun duit rakyat maka wajar didedahkan segala perbelanjaannya jika timbul keraguan.

Kontroversi NFC muncul selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010, yang menyatakan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mendapat pinjaman mudah RM250 juta dan tanah seluas 5,000 hektar di Gemas, Negeri Sembilan.

NFC tidak diberikan tanah secara percuma, sebaliknya melalui pajakan daripada Perbadanan Menteri Besar Negeri Sembilan.

Apabila ia dibangkitkan sendiri oleh Ketua Audit Negara, pastilah muncul keraguan. Selain itu ragunya kita selepas melihat keluarga menteri dianugerahkan pinjaman mudah dan projek nasional.

Apa cerita NFC?

Wang rakyat bukan saja dijadikan tilam empuk keluarga menteri, malah seperti yang didakwa Rafizi telah disalahgunakan seperti membeli kondominium.

Malangnya Akta Bafia digunakan kepada mereka yang melaporkannya. Akta ini diluluskan pada tahun 1989 dan didakwa dibuat selepas beberapa akaun perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berserta proksi dan kroninya telah menjadi perhatian musuhnya daripada Semangat 46, parti serpihan Umno sendiri.

Johari dan Rafizi akan membuat rayuan dan kita berdoa agar Mahkamah Tinggi mempunyai budi bicara yang tinggi untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen.

Sementara itu, bagaimana pula agaknya dengan NFC? Berapa jumlah daging tempatan yang berjaya dihasilkan?

Paling penting, berapakan jumlah yang telah dibayar bagi RM250 juta milik rakyat? Atau apakah ia telah dihapuskan?

Akhir kata, pepatah ada menyebut "di saat pendedahan terhadap jenayah dianggap sebagai melakukan jenayah, anda diperintah oleh penjenayah" (when exposing a crime is treated as committing a crime, you are ruled by criminals).


EDY NOR REDUAN adalah pengarah propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Rencana ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 

Lihat Komen
ADS