Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azizah: Mahkamah hantar mesej salah dengan hukum Rafizi
Diterbitkan:  Feb 8, 2018 1:13 PM
Dikemaskini: 5:15 AM

Sabitan bersalah dan hukuman penjara 30 bulan terhadap Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan seorang lagi menghantar mesej salah kepada rakyat dan dunia tentang pembocor maklumat, kata Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Presiden PKR berkata sabitan itu dibuat ketika tiada sebarang tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam skandal National Feedlot Corporation (NFC).

“Ini adalah satu hipokrisi,” kata Azizah.

“Mereka yang berjuang demi rakyat dan keadilan dizalimi, manakala mereka yang menghabiskan wang rakyat terus bebas dan langsung tidak dikenakan apa-apa tindakan.”

Rafizi dan bekas kerani bank Johari Mohamad semalam masing-masing dihukum 30 bulan penjara selepas didapati bersalah membocorkan data perbankan berhubung akaun National Feedlot Corporation Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Sesyen berkata pihak pendakwa telah membuktikan tertuduh melanggar Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) melampaui keraguan munasabah.

Bagaimanapun, hakim membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan dan mengekalkan kos ikat jamin pada RM15,000.

Dalam kenyataan hari ini, Azizah berkata keputusan terhadap Rafizi dan Johari adalah “kezaliman yang nyata”.

“Kita perlukan lebih ramai rakyat Malaysia untuk berani bangkit bersama dalam perjuangan melawan kezaliman dan menegakkan keadilan buat Rafizi, Johari dan semua yang dizalimi di bumi tercinta ini,” katanya.

Rafizi dan Johari didakwa pada 2012 mengikut Seksyen 97 Bafia kerana mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank berkaitan NFC dan pengerusinya Datuk Seri Mohd Salleh Ismail, suami Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Jalil.

Lihat Komen
ADS