Seorang peniaga didenda RM20,000 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah bagi empat pertuduhan memuat naik empat kandungan komunikasi berunsur jelik berhubung Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali di laman Facebooknya, dua tahun lepas.

Azhar Mamat, 45, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Hakim Zaman menjatuhi hukuman denda RM5,000 atau sebulan penjara bagi setiap pertuduhan itu terhadap Azhar. Dia membayar denda itu.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, bapa kepada anak tiga itu didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebook “Azhar Mamat” telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain antara 10.16 malam, 21 Julai 2016 dan pada 8.27 malam, 27 Julai 2016.

Azhar turut mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebook “Azhar Mamat’ telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, pada 8.28 malam, 29 Julai 2016.

Kesemua pautan itu dibaca di Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia, Tingkat 11, Menara A, Pandan Capital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah di sini, pada 7 malam, 15 Ogos 2016.

Pendakwaan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Mohd Sophian Zakaria memohon hukuman setimpal atas alasan kesalahan yang dilakukan Azhar boleh menjejaskan maruah dan reputasi perdana menteri dan peguam negara.

“Tindakan OKS ini seolah-olah tidak menghormati dua pemimpin negara danboleh memberi imej buruk kepada mereka,”katanya.

Peguam Adlizan Noor, yang mewakili Azhar, merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya menanggung isteri yang tidak bekerja dan anak yang masih bersekolah serta ibu yang menghidap sakit tua dengan pendapatan RM3,000 sebulan.

Mengikut fakta kes, seorang individu telah membaca empat kandungan posting berunsur komunikasi jelik yang dimuat naik oleh Azhar.

Hasil siasatan mendapati akaun itu milik Azhar, yang telah memuat naik posting itu, dan individu berkenaan membuat laporan mengenainya kepada SKMM.

- Bernama