Di sebalik dakwaan ratusan ahli parti tidak berpuas hati, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa mesyuarat agung tahunan (AGM) parti itu dijalankan dengan mematuhi perlembagaannya.

AGM parti serpihan Umno itu yang diadakan pada 30 Disember lalu menyaksikan ratusan aduan dikemukakan di Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Mereka dikatakan mempersoalkan bagaimana mesyuarat boleh dijalankan sebelum bahagian parti itu mengadakan mesyuarat masing-masing untuk memilih pemimpin.

“Bahagian (BERSATU) terawal adalah Pagoh (yang diluluskan ROS) pada 24 Julai 2017.

“Rujuk perlembagaan kami, bahagian baru diluluskan kurang setahun, belum genap satu tahun, belum perlu ada mesyuarat agung.

“Mereka yang buat aduan tak faham. Bagaimana boleh ada mesyuarat, belum satu tahun? Sampai sekarang belum ada satu cawangan yang (berusia) satu tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Pakatan Harapan Johor , hari ini.

Persidangan akhbar itu disiarkan secara langsung di Facebook.

Muhyiddin berkata parti itu sedang mempertimbangkan mengambil tindakan undang-undang dan menyerahkan kepada lembaga disiplin untuk menentukan tindakan terhadap anggota parti yang membuat aduan tersebut.

Beliau juga mengkritik Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana campur tangan dalam proses itu.

“(Kenapa) timbalan perdana menteri bersandar kepada aduan, sama ada aduan itu kredible atau tidak, terpulang kepada ROS untuk tafsir.

“Ini tak disiasat oleh ROS,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata surat-surat BERSATU kepada ROS yang memohon nasihat tidak dijawab.

“Kami adalah parti baru. Dengan mana-mana parti baru, akan ada masalah tetapi kami patuhi.

"ROS tidak bertindak balas apabila kami meminta nasihat. Kami tak dilayan langsung.

“Persefahaman bersama perlu bagi mana-mana organisasi untuk berfungsi, ROS mesti memainkan peranan juga,” katanya.

[Baca berita penuh]