Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tanah Felda Jalan Semarak masih milik pemaju, dakwa Rafizi
Diterbitkan:  Feb 8, 2018 6:44 PM
Dikemaskini: 10:55 AM

Rafizi Ramli mendakwa sehingga hari ini tiada satu pun tanah milik Felda sekitar Jalan Semarak telah dipulangkan oleh syarikat pemaju Synergy Promenade Sdn Bhd, seperti yang didakwa agensi itu.

Naib presiden PKR itu merujuk kenyataan yang dibuat Felda pada 15 Januari lalu bahawa syarikat tersebut telah memulangkan hak milik tanah tanpa sebarang kos.

Beliau juga menyebut laporan akhbar The Sun yang memetik Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad (gambar) sebagai berkata semua hak pemilikan telah didaftar semula di bawah nama Felda.

"Laporan The Sun dan juga Utusan Malaysia secara jelas menyebut bahawa Felda telah mendapat kembali hak milik," katanya pada sidang media di pejabat Invoke, hari ini.

Namun selepas membuat siasatan, beliau mendakwa telah mendapat geran hak milik semua 16 lot tanah Felda yang terbabit.

"Semua geran ini diperolehi dengan menjejaki nombor-nombor geran hak milik, yang seterusnya membolehkan saya membeli setiap geran yang bernilai RM30 setiap satu.

"Setakat 31 Januari 2018 iaitu ketika geran tersebut diperolehi, kesemua 16 lot tanah masih lagi milik syarikat pemaju iaitu Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd (satu lot) dan Synergy Promenade Sdn Bhd (15 lot lain).

"Maka apabila Shahrir mengumumkan pada 15 Januari yang lalu kononnya Felda telah memiliki kembali hak milik, apakah maksud beliau?" soalnya.

Malah, katanya lagi, berdasarkan geran tersebut jelas beberapa lot tanah hanyalah disyaratkan untuk pejabat Felda.

Untuk tenangkan peneroka

Rafizi percaya pengumuman pada 15 Januari lalu itu hanyalah "sandirawa" untuk menunjukkan pengurusan baru Felda di bawah Shahrir tidak terlibat dengan pemindahan hak milik tanah.

"Seolah-olah Shahrir sedang berusaha untuk menyelamatkan Felda.

"Jika (bekas pengerusi Felda) Tan Sri Isa Samad ditahan dan diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mungkin SPRM selepas ini perlu memanggil Shahrir kerana hak milik bagi lot terbesar tanah dipindahkan ketika beliau sudah menjadi pengerusi," dakwa Rafizi lagi, merujuk dua lot tanah yang menurutnya masing-masing dipindah hak milik pada 6 Mac dan 14 April 2017.

Mengakui proses pemindahan semula itu akan memakan masa lama, Rafizi mempersoalkan sebab di sebalik pengumuman awal perkara itu.

"Ini bertujuan meyakinkan peneroka Felda dan orang Melayu kononnya pelbagai isu yang dibawakan oleh saya dan pimpinan Pakatan Harapan yang lain adalah tidak benar."

Dan jika tanah tersebut sudah dipersetujui untuk dipulangkan kepada Felda, Rafizi mempersoalkan pihak mana yang akan menanggung kosnya.

"Beliau (Shahrir) berkata pemindahan semula tanpa kos. Siapa yang akan bayar duti setem kira-kira RM8 juta?"

Malaysiakini telah menghubungi Shahrir dan menunggu responsnya berhubung dakwaan ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS