Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tamrin gagal bincang 'skandal' bos SPRM dengan IGP

Datuk Tamrin Ghafar yang membawa misi "merungkai skandal" dikaitkan dengan seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ke pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM), tidak kesampaian hari ini.

Anak bekas timbalan perdana menteri itu berkata, kedatangannya ke Bukit Aman petang tadi dibuat selepas mendapat "lampu hijau" daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Namun kata Tamrin apabila tiba di Ibu Pejabat PDRM itu dia dimaklumkan ketua polis negara tiada di situ kerana menghadiri majlis di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Malangnya apabila sampai tadi IGP tak ada kerana katanya beliau terpaksa menghadiri Forum Bandar Sedunia (WUF).

"Masalahnya kalau dia dah tahu ada perjumpaah (WUF) ini, mengapa suruh saya datang hari ini?

“Pada saya ini tak betul, jemputan (dari WUF) mesti sudah dibuat sebulan lepas. Takkan dia tak tahu? Pada saya ini cuma alasan,” katanya kepada pemberita di luar Bukit Aman.


Baca: Kes goda - Kertas siasatan diserah kali ketiga


Semakan Malaysiakini mendapati persidangan kali kesembilan WUF itu berlangsung antara 7 hingga 13 Feb ini.

Terdahulu Tamrin yang juga anak Allahyarham Tun Ghafar Baba mengumumkan kedatangannya ke Bukit Aman untuk merujuk kes didakwa salah laku melibatkan Ketua Pengarah SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Sebelum ini polis berkata aduan mengenai Dzulkifli disiasat mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu melibatkan tuduhan memikat, membawa pergi atau menahan seorang wanita yang bersuami dengan niat jenayah.

Mahu tindakan diambil

Kemas kini terakhir daripada Mohamad Fuzi mengenai kes itu ialah pada 6 Disember 2017. Katanya polis akan menyiapkan siasatan mereka dalam masa seminggu.

Tamrin hadir ke Bukit Aman diiringi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Zahid Mat Arip dan penulis blog Shahbudin Husin.

Mereka masuk ke bangunan itu kira-kira jam 4.50 petang dan keluar satu jam kemudian.

Pada 1 Feb lalu Tamrin sudah menyatakan rancangannya bertemu Mohamad Fuzi. Melalui status di Facebook dia menulis: "Saya bersedia bersemuka dengan Tan Sri Fuzi, Ketua Polis Negara dalam masa terdekat ini bagi merungkai skandal yang belum selesai ini. Diharap IGP sudi melapangkan masa bertemu saya bersama dua orang rakan lain, seorang jururakam dan seorang saksi."

Sementara itu Tamrin nampaknya tidak berputus asa dan akan cuba mendapatkan temu janji baru bersama Mohamad Fuzi.

“Nampaknya saya akan buat susulan dengan menulis kepada IGP dan menyatakan saya terkilan serta tak puas hati sebab gagal bertemu dengan dia,” katanya.

Pagi tadi Tamrin juga ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi memfailkan aduan dan menyerahkan surat terbuka berkaitan Dzulkifli kepada badan itu.

“Tujuan kita jumpa tak lain tak bukan, berkaitan isu ketua pengarah SPRM. Saya mahu tindakan diambil,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo turut membuat gesaan sama.

Katanya, polis telah lama mendiamkan diri mengenai perkembangan siasatan berhubung dakwaan "hubungan sulit" dengan isteri orang itu.

Lihat Komen
ADS