Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Semua pihak menyedari bahang pilihan raya umum (PRU) semakin membara walaupun tarikh sebenar pembubaran parlimen masih menjadi rahsia.

Dalam keadaan itulah Datuk Seri Najib Razak terus turun padang bertemu rakyat. Dan esok perdana menteri menjejakkan kaki di kawasan berprofil tinggi - Pagoh.

Daerah di utara Johor itu sebelumnya adalah biasa-biasa saja, sehinggalah anggota parlimennya berseteru dengan perdana menteri dan membawa kepada lahirnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Daripada gandingan yang dianggap serasi Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin kini menjadi musuh.

Dan di Pagoh itulah perdana menteri akan melawat dan menunjukkan kehadirannya ketika bekas timbalannya, Muhyiddin - yang menjadi anggota parlimen selama tujuh penggal di situ - terus menyusun jentera BERSATU serta Pakatan Harapan (HARAPAN).

Untuk rekod Johor dianggap satu daripada negeri yang diyakini HARAPAN berpotensi untuk ditawan daripada BN buat kali pertama dalam sejarah.

Lokasi pilihan Najib pada pagi esok ialah kawasan Felda Maokil. Di kawasan itu beliau dijadual menyerahkan geran tanah kepada peneroka terbabit.

Ribuan menanti PM

Tidak hanya terhad di Pagoh, kawasan lain Felda adalah satu daripada wilayah yang dianggap menjadi lubuk utama penyokong BN dan amat sukar untuk ditembusi pembangkang.

Pemangku Ketua Umno Pagoh Ismail Mohamed berkata kedatangan Najib esok adalah yang pertama sejak 2009.

Dan ketika demam PRU semakin kuat kehadiran perdana menteri itu pasti merangsang sokongan moral buat Umno dan menyuntik semangat pengundi setempat.

Sesuai dengan kedudukan itu dijangka sambutan yang menunggu Najib esok begitu gilang-gemilang.

"Selain kira-kira 3,000 peneroka atau penduduk Felda Maokil kehadiran meraikan perdana menteri esok juga disertai jentera pilihan raya BN Pagoh serta pengundi lebih 7,000 orang," katanya kepada Malaysiakini.

Pagoh menjadi satu-satunya kerusi dalam Dewan Rakyat yang diwakili BERSATU. Itu pun asalnya adalah Umno/BN sehinggalah Muhyiddin dipecat daripada parti itu pada 2015.

Muhyiddin kemudian bergandingan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad serta Datuk Seri Mukhriz Mahathir - semuanya bersikap kritis kepada Najib - untuk menubuhkan BERSATU.

Sementara itu selepas sembahyang Jumaat Najib akan berkunjung ke Muar pula. Ia adalah kawasan yang menarik perhatian HARAPAN kerana dilihat cerah untuk dicabar.

Pada 2013 kerusi itu dimenangi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim, dengan majoriti hanya 1,646 undi.

Kerusi itu akan ditandingi BERSATU dan calon yang dipertaruhkan ialah ketua pemuda parti itu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS