Beberapa persatuan media Sarawak menangkis kritikan pihak tertentu yang mendakwa media tidak membuat liputan secukupnya tentang keadaan banjir di negeri itu dan menasihati wartawan tempatan supaya bertenang dan terus membuat liputan, walaupun menghadapi kesukaran untuk sampai ke tempat yang dinaiki air.

Persatuan Wartawan Komanwel (CJA) Sarawak, Persekutuan Wartawan Sarawak (FSJA) , Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) dan Persatuan Jurufoto Akhbar Sarawak (SPPA) dalam kenyataan bersama semalam berkata dakwaan bahawa media gagal membuat liputan di kawasan dilanda banjir di Sarawak adalah tidak benar sama sekali.

"Kami bukan hendak berlumba dengan warga internet dan laskar papan kekunci. Etika kami adalah memastikan maklumat yang diberi adalah tepat dan ini mengambil masa untuk didapati,” kata empat organisasi media itu berhubung kritikan yang dilemparkan kepada stesen televisyen dan akhbar kerana kononnya tidak menyiarkan sebarang berita tentang kegiatan bantuan oleh pihak kerajaan semasa berlaku bencana.

Kenyataan itu juga menasihati wartawan tempatan supaya mendapatkan maklumat yang sahih daripada pihak berkuasa berkenaan dan daripada sumber yang boleh dipercayai, walaupun menghadapi kesukaran untuk sampai ke tempat dilanda banjir.

"Kami menyiarkan berita berkaitan banjir sejak hari pertama lagi.

“Hasil kerjasama rapat daripada pelbagai agensi dan pihak berkuasa dalam jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan maklumat yang boleh dipercayai daripada orang aramai, khususnya mangsa banjir sendiri, kami akan terus menjalankan tugas kami secara profesional," tambah kenyataan itu.

Peruntukan besar

Sementara itu, Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata peruntukan yang besar diperlukan untuk mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di sini memandangkan Kota Marudu ialah antara kawasan yang mencatatkan taburan hujan yang tinggi di Sarawak.

Beliau menekankan tentang perlunya melaksanakan sistem tebatan banjir yang efektif selain pelan induk sedia ada bagi mengatasi masalah banjir.

“Justeru, pelaburan dalam perbelanjaan modal bagi mengurangkan impak banjir adalah jauh lebih murah dalam jangka panjang daripada tindakan pemulihan bagi membaiki infrastruktur,” kata beliau selepas melawat kawasan-kawasan dilanda banjir di Kampung Kuranji dan Kampung Popok Laut di Tandek, di Kota Marudu semalam.

Tutrut hadir Pegawai Daerah Kota Marudu, Arnold Joibi, dan jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Kota Marudu, Frazer Duing.

Ongkili yang juga anggota Parlimen Kota Marudu berkata, di bawah Pelan Induk ke-11, sejumlah RM96 juta telah diperuntukkan untuk melebarkan beberapa batang sungai utama di daerah tersebut serta membina tembok penahan di sepanjang tebing sungai.

“Beberapa pelan tindakan telah dilaksanakan tetapi jumlah peruntukan belum mencukupi. Perkara ini telah dibangkitkan pada peringkat kerajaan Persekutuan dan Negeri,” kata beliau.

Justeru, Ongkili berkata pelan tindakan ini perlu diteruskan dan beliau melahirkan keyakinan bahawa kerajaan Barisan Nasional dapat mencari penyelesaian terbaik terhadap masalah tersebut.

.- Bernama