GLOBAL Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah membuka pemeriksaan awal terhadap "perang ke atas dadah" Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, yang menyebabkan kematian ribuan orang sejak ia bermula pada Julai 2016.

Pendakwa Fatou Bensou berkata pada hari Khamis bahawa pemeriksaan itu untuk mengetahui sama ada jenayah terhadap kemanusiaan telah dilakukan dan sama ada ICC mungkin ada bidang kuasa untuk membawa suspek untuk perbicaraan.

Kira-kira 4,000 orang, kebanyakannya rakyat miskin bandar Filipina, telah dibunuh oleh polis dalam tempoh 19 bulan lalu dalam tindakan keras yang mengejutkan masyarakat antarabangsa. Aktivis percaya jumlah kematian jauh lebih tinggi.

"Walaupun beberapa pembunuhan seperti itu dilaporkan berlaku dalam konteks pertembungan antara atau di dalam geng, namun dikatakan bahawa banyak insiden yang dilaporkan melibatkan pembunuhan dalam operasi anti-dadah polis," kata Bensouda.

Jurucakap Duterte, Harry Roque berkata mahkamah akan menuduh presiden melakukan jenayah terhadap kemanusian, tetapi kenyataan Bensouda itu tidak mengenal pasti suspek yang berpotensi.

Roque menyifatkan tindakan mahkamah itu sebagai "pembaziran masa dan sumber pengadilan".

Roque berkata beliau telah membincangkan isu ICC selama dua jam pada malam sebelumnya dengan Duterte, seorang bekas pendakwa, sambil menambah bahawa presiden bersedia untuk menghadapi perbicaraan.

"Dia sudah bosan dituduh," kata Roque, seorang pakar undang-undang antarabangsa.

Sejak ditubuhkan pada 2002, ICC telah menerima lebih daripada 12,000 aduan atau komunikasi, dan hanya sembilan daripadanya telah dibicarakan.

Siasatan awal adalah langkah formal pertama yang diambil oleh pihak pendakwa apabila mempertimbangkan sama ada sesuatu situasi di salah sebuah negara anggota ICC, boleh dibawa kepada pendakwaan.

Bensouda kini akan memulakan proses yang mungkin mengambil masa beberapa tahun, mengumpul maklumat sama ada sebarang jenayah dilakukan, sama ada mereka cukup serius untuk diterima di mahkamah, dan sama ada mahkamah mempunyai bidang kuasa, kerana ia hanya dapat mendakwa jenayah apabila negara anggota sendiri gagal berbuat demikian.

Sekiranya Bensouda ingin membuka siasatan rasmi, dia akan terlebih dahulu mendapatkan kelulusan daripada hakim antarabangsa.

Duterte telah mencabar ICC untuk membawanya ke mahkamah dan berkata dia sedia merengkok di penjara untuk menyelamatkan rakyat Filipina dari jenayah dan dadah.

[Baca berita penuh]