Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kabinet arah MAS selesaikan masalah kerusi, tandas pesawat Airbus
Diterbitkan:  Feb 9, 2018 12:01 PM
Dikemaskini: 4:05 AM

Mesyuarat jemaah menteri Rabu lalu mengarahkan Malaysia Airlines Bhd (MAB)untuk menyelesaikan masalah susun atur tempat duduk dan tandas di kelas perniagaan dalam pesawat Airbus A350-900XWB, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata pihaknya menerima beberapa rungutan dan aduan penumpang mengenai tempat duduk yang tidak selesa dan tandas tidak mencukupi di kelas perniagaan penerbangan itu.

Menurutnya, perkara itu dibincangkan pada mesyuarat kabinet.

"Saya telah mengarahkan MAB untuk mengendalikan aduan ini secepat mungkin agar keselesaan penumpangan sentiasa terjamin dan diutamakan,” katanya yang dipetik oleh Bernama, semalam.

MAB akan menerima enam pesawat A350-900 itu secara berperingkat menerusi pajakan daripada Air Lease Corp. MAB menerima pesawat pertama Airbus A350-900XWB itu pada 30 November lalu.

Pesawat Airbus itu memiliki 286 tempat duduk dengan tiga kelas, yang terdiri daripada empat tempat duduk kelas pertama, 35 tempat duduk kelas perniagaan dan 247 tempat duduk kelas ekonomi.

Liow berkata MAB tidak diberi tempoh masa untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

"Terpulang kepada mereka untuk menangani isu ini termasuk menjalankan siasatan dalaman berhubung aduan itu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS