Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut menyentuh berkaitan kempen undi rosak yang sebelum ini dikatakan akan menjejaskan undi pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.

Menjawab dakwaan parti kerajaan dan pembangkang tidak menguntungkan rakyat, Najib mengakui memang kedua-dua belah pihak ada kelemahan.

Bagaimanapun, katanya, lebih baik penilaian dibuat berdasarkan pembangunan yang dihasilkan.

“Berbeza dengan pembangkang, banyak pembangunan infrastruktur negara seperti MRT, Jambatan Pulau Pinang 2, Tun Razak Exchange 106, KL118, UTC, RTC, Kota Iskandar, ECRL, HSR telah dan sedang dijalankan oleh Kerajaan.

“Dan ini semua menambah peluang pekerjaan dan juga peluang perniagaan,” kata Najib.



Di negeri ditadbir parti lawan BN pula, katanya, cukai tanah melambung tinggi sehingga 1,671 peratus di Pulau Pinang dan 300 peratus di Selangor.

“Jika dibandingkan, Kerajaan BN konsisten dalam membawa pembangunan di negara ini, sekaligus menjamin masa depan setiap rakyat Malaysia.

“Tidak perlu rosakkan undi anda, pilihan terbaik untuk rakyat adalah jelas sekali,” katanya.

Kempen #UndiRosak kembali rancak selepas Pakatan Harapan menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri sekali lagi.

Kumpulan ini melihat Mahathir - yang berdepan rekod buruk hak asasi dan dakwaan kuku besi sepanjang 22 tahun pentadbirannya - tidak jauh berbeza dengan Najib.

Justeru, kempen merosakkan undi dan tidak keluar mengundi itu digerakkan sebagai tanda protes kepada kedua-dua belah pihak yang didakwa tidak mampu menjadi alternatif kepada rakyat.