Tun Dr Mahathir Mohamad diingatkan bahawa undang-undang baru berita palsu yang mahu diperkenalkan bukan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menyekat kebebasan bersuara dan membolehkan tahanan tanpa bicara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said mengingatkan berkata, bekas pemimpin nombor satu negara itu tidak perlu khuatir.

“Beliau seharusnya lebih rasional dalam menilai isu ini kerana penyebaran berita palsu ini dibuat dengan niat yang tidak baik dan tidak beretika malah sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa kepada berita palsu termasuk beliau sendiri.

“Berita palsu juga dilihat sebagai strategi perang baru yang boleh memusnahkan negara dengan hanya di hujung jari.

“Oleh itu langkah Kerajaan untuk menggubal undang-undang ini adalah selaras dengan trend semasa.

“Bagaimanapun Tun Mahathir tidak perlu bimbang kerana undang-undang yang akan digubal ini tidak seperti ISA yang menyekat kebebasan bersuara dan tahanan tanpa bicara,” kata Azalina melalui kenyataannya hari ini.

ISA sentiasa menjadi duri dalam daging selama 22 tahun pentadbiran Mahathir kerana sering berdepan kecaman mencabul hak asasi manusia dan didakwa bertujuan mendiamkan pengkritiknya.

Kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baru untuk membendung berita palsu yang boleh mengancam kestabilan politik, menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Susulan itu, Dr Mahathir berkata cadangan undang-undang untuk membendung berita palsu tidak sepatutnya digunakan kerajaan untuk menyekat berita mengkritik, terutamanya berkaitan skandal kewangan terbesar negara.

Mengulas perkara itu Azalina melahirkan rasa terkilannya dengan Dr Mahathir dan mengingatkan pengerusi Pakatan Harapan itu untuk melihat usaha itu tanpa prasangka kerana pindaan ini dibuat dengan niat untuk kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.

Azalina turut berkata penggubalan kepada undang-undang ini masih belum muktamad dan jawatankuasa khas yang ditubuhkan masih lagi mengadakan rundingan dan perbincangan bersama-sama pihak-pihak berkepentingan sebelum diputuskan oleh kabinet.

“Justeru adalah tidak adil untuk mana-mana pihak menghakimi usaha murni kerajaan ini kerana proses itu masih lagi berjalan dan kerjasama semua pihak diperlukan untuk menangani isu ini secara berkesan dan komprehensif,” katanya.