Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perubahan kaedah undi pos luar negara tak jejas ketelusan - SPR
Diterbitkan:  Feb 9, 2018 3:59 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Perubahan kaedah pengundian pos luar negara pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak akan menjejaskan ketelusan proses pengundian, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata proses undi pos luar negara adalah berdasarkan permohonan yang dibuat sendiri oleh pemilih yang layak dengan menyertakan nombor kad pengenalan dan nombor pasport sebagai bukti pengenalan diri.

Katanya maklumat itu akan disahkan kelayakannya dengan Jabatan Imigresen sebelum SPR memaklumkan kepada pemohon sama ada permohonan mereka diluluskan atau ditolak.

"Seterusnya urusan pengeluaran kertas undi pos akan dibuat oleh pegawai pengurus pilihan raya bagi bahagian yang berkenaan dengan disaksikan wakil-wakil calon yang bertanding semasa pengeluaran sampul kertas undi pos untuk penghantaran kepada pemohon yang berjaya," katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Bagi proses pengundian pos yang lain, pengundi akan menerima sampul kertas undi pos secara terus dan mereka perlu menanda pilihan mereka serta mengisi Borang 2 (pengisytiharan identiti) dengan lengkap di hadapan seorang saksi bagi membuktikan penerima sampul kertas undi itu adalah pengundi pos berkenaan.

Mohd Hashim berkata Borang 2 itu perlu dihantar kepada pegawai pengurus bahagian pilihan raya masing-masing bersama sampul yang mengandungi kertas undi sebagai pengesahan bahawa undi tersebut adalah daripada pengundi pos berkenaan.

Sampul undi pos yang diterima akan dibuka dengan disaksikan wakil-wakil calon sebelum dimasukkan ke dalam peti undi dan proses pengiraan undi pos juga disaksikan sendiri oleh wakil-wakil calon terbabit.

"Kaedah ini memudahkan pengundi pos luar negara kerana mereka tidak lagi perlu ke pejabat kedutaan atau pejabat perwakilan Malaysia (Malawakil) yang jauh dari tempat bermastautin, malah di sesetengah negara tidak terdapat Malawakil yang berhampiran," jelasnya.

Mohd Hashim berkata SPR akan sentiasa memastikan aspek ketelusan dalam setiap proses pilihan raya dan mematuhi kehendak perundangan sepenuhnya bagi memastikan kerahsiaan undi terjamin.

Sehingga kini, SPR telah menerima sebanyak 828 permohonan undi pos luar negara sejak ia dibuka pada 23 Januari lepas, dengan 285 daripadanya telah diluluskan dan selebihnya masih dalam proses semakan, katanya.

Permohonan paling banyak diterima dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong dan Jerman.

Selain itu, terdapa 3,601 Pengundi Tidak Hadir (PTH) di luar negara yang berdaftar, terdiri daripada penjawat awam dan pelajar sepenuh masa serta pasangan mereka.

Mohd Hashim berkata bagi mana-mana penjawat dan pelajar sepenuh masa serta pasangan mereka di luar negara yang tidak berdaftar sebagai PTH, mereka perlu memohon undi pos melalui Borang 1B kepada SPR sebelum hari pembubaran Dewan Rakyat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS