Malaysia Airlines dijangka untung pada suku pertama 2019 - CEO
Malaysia Airlines berkemungkinan besar mencatat keuntungan menjelang suku pertama 2019 (SP19) berikutan perkembangan dialami syarikat penerbangan nasional itu, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail.
"Unjuran pasaran bagi Malaysia Airlines tahun ini adalah mencabar. Namun, ia semakin berkembang dan sasaran di peringkat dalaman adalah untuk mencatat untung pada tahun ini.
"Pasukan tahu mengenai aspirasi saya ini dan saya berharap kepada mereka untuk terus gigih bekerja pada tahun ini. Oleh itu, suku pertama 2019 dilihat lebih realistik (bagi mencapai keuntungan)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian Perjanjian Kerjasama Latihan antara Malaysia Airlines Academy Bhd dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) di Petaling Jaya hari ini.
Akademi itu merupakan sayap latihan Malaysia Aviation Group (MAG).
Izham yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, berkata kerjasama itu tidak membabitkan sebarang perkongsian keuntungan dan hanya berasaskan kontrak perkongsian pengetahuan yang boleh diperbaharui.
"Saya tidak menolak kemungkinan menjalin usaha sama dengan IATA bagi menjadikan akademi ini satu organisasi yang diiktiraf. Ini akan dilakukan pada fasa berikutnya.
"Ini merupakan cita-cita kami sejak 10 tahun lepas. Bagaimanapun kami tidak dapat mengendalikan akademi ini berikutan kesukaran yang dialami syarikat sebelum ini," katanya.
Kerjasama itu antara lain membolehkan akademi itu menawarkan 10 kursus IATA, termasuk latihan pertama yang bermula pada 26 Feb, 2018, katanya.
Mengulas peningkatan usaha pengambilan pekerja baharu oleh syarikat penerbangan itu, Izham berkata ini dilakukan bagi menangani kadar atrisi keseluruhan kumpulan yang tinggi sebanyak 16 peratus.
Malah, beliau berkata, permohonan daripada bekas kakitangan syarikat itu akan diberi keutamaan jika kemahiran mereka terbukti amat diperlukan.
"Kami terus berazam untuk mengekalkan seramai 14,000 pekerja untuk kumpulan ini yang mana 12,500 adalah kakitangan Malaysia Airlines.
"Kira-kira 95 peratus daripada 6,000 pekerja yang meninggalkan syarikat penerbangan ini telah memulakan kerjaya baharu dan lebih baik manakala kurang 5.0 peratus masih mendapat bimbingan Pusat Pembangunan Korporat," katanya.
- Bernama

