Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini diberitahu bahawa Siti Aisyah, wanita Indonesia yang dituduh membunuh Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, telah melakonkan beberapa babak 'usikan' di beberapa tempat di sekitar ibu negara dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar Januari tahun lalu.

Babak 'usikan' itu dilakukan di KL Sentral, di luar lobi Hotel Doubletree, di hadapan lobi Hotel Mandarin Oriental dan pusat beli belah Suria KLCC, sebulan sebelum serangan bunuh itu berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Februari tahun lepas.

Perkara itu dicadangkan peguam Gooi Soon Seng, yang mewakili Siti Aisyah, 26, semasa menyoal balas Pegawai Penyiasat, ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, 40, pada hari ke-29 perbicaraan kes pembunuhan Kim Chol.

Menjawab soalan Gooi, saksi kesembilan itu bersetuju kesemua lokasi ‘prank’ (usikan) itu berdasarkan percakapan Siti Aisyah.

Siti Aisyah dan wanita Vietnam, Doan Thi Huong, 29, didakwa membunuh Kim Chol bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas di Balai Berlepas, klia2, di Sepang, pada 13 Feb tahun lepas.

Wan Azirul Nizam, bagaimanapun, tidak bersetuju dengan cadangan Gooi bahawa seorang individu bernama ‘James’ telah membayar Siti Aisyah RM600 sebagai upah lakonan dan tambahan RM50 untuk tambang teksi untuk setiap lakonan itu.

"Berdasarkan percakapan Siti Aisyah, dia dibayar RM650 ketika melakukan babak 'usikan' di KLIA dan Hotel Mandarin Oriental masing-masing pada 6 dan 9 Januari 2017," kata saksi itu.

Gooi: Saya mengatakan dalam pertemuan pada 16 Jan 2017, ‘James’ telah mengaturkan Siti Aisyah untuk melakukan ‘prank’ di Kemboja dan dia dibayar RM1,500 untuk bayaran tiket penerbangan dan teksi.

Wan Azirul Nizam: Setuju

Pada perbicaraan itu, Gooi turut mendedahkan beberapan teks khidmat pesanan ringkas (SMS) di antara ‘James’ dengan Siti Aisyah yang menggelar dirinya sebagai 'Elice' dengan “James’ yang turut digelar 'Jepun'.

Gooi : Saya cadangkan bahawa Siti Aisyah telah menghantar satu SMS kepada ‘James’ dengan mengatakan, "I see today, I acting no good, right? " di mana ‘James’ membalas ‘not natural’ dan tertuduh kemudian membalas ‘Sorry long time not acting’.

Wan Azirul Nizal: Setuju

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung 22 Feb ini.

- Bernama