Putrajaya dijangka mengumumkan kadar dividen paling tinggi untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF) dalam tempoh 21 tahun hujung minggu ini.

Beberapa sumber memberitahu Malaysiakini bahawa Putrajaya akan mengumumkan antara 6.8 peratus hingga tujuh peratus kadar dividen bagi tahun 2017.

Sekiranya benar, ia adalah lonjakan ketara dalam kadar dividen yang berjumlah lebih daripada satu peratus. Kadar dividen pada 2016 adalah 5.7 peratus.

Sekali gus, sekiranya benar, kadar dividen KWSP 2017 merupakan yang paling tinggi sejak Datuk Seri Najib Razak jadi perdana menteri pada 2009.

Kadar dividen tertinggi KWSP sebelum ini adalah pada 8.5 peratus yang terjadi antara 1983 hingga 1987.

Data statistik sejak 2003 menunjukkan tahun pilihan raya tidak akan menunjukkan lonjakan pada kadar dividen KWSP.

Menurut beberapa laporan berita, kadar dividen itu akan diumumkan oleh Najib sendiri, yang merupakan menteri kewangan.

Sebelum ini, KWSP sendiri yang akan membuat pengumuman berkenaan.

Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 memperuntukkan kepada menteri kuasa "arahan yang bersifat am" dan kuasa melantik serta menyingkirkan ahli lembaga.

Sementara itu, sumber turut memberitahu Malaysiakini bahawa simpanan syariah KWSP akan turut mengumumkan lonjakan kenaikan kadar dividen, meski sedikit rendah.

Sejak 2017, KWSP menyediakan kepada 700,000 pencarum pilihan untuk menukar kepada simpanan syariah.

KWSP merupakan sumber dana utama bagi pasaran ekuiti tempatan dan turut mempunyai pelaburan di luar negara.

[Baca berita penuh]