WAWANCARA l Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan kerajaan Selangor yang dipimpin Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar tidak mengikut jejak kerajaan pusat yang menekan parti itu dan rakyat Kelantan dengan harapan dapat meraih undi.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas isu peruntukan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di negeri itu.

Menurut Tuan Ibrahim, sekiranya pembekuan itu berlaku, kesannya bukan sahaja kepada PAS tetapi juga terhadap Azmin sendiri.

"Jangan ingat bahawa apabila kita menekan kerajaan negeri mahu pun parti maka rakyat akan bela kita, ini sikap yang salah.

"Sekatan (pembekuan dana) ini bukan sahaja akan menyekat PAS tetapi akan menimbulkan kemarahan rakyat kepada dia (Azmin)," kata Tuan Ibrahim dalam temu bual bersama Malaysiakini di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Isu mengenai peruntukan itu timbul 30 Januari lalu apabila Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehin Mukhyi mendakwa kerajaan Selangor membekukan peruntukan untuk ADUN PAS.

Azmin bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan berkata bahawa kerajaan Selangor antara sejumlah kecil kerajaan negeri yang memberi peruntukan kepada pembangkang dan menegaskan ia bagaimanapun perlulah mengikut prosedur yang ditetapkan.

Pembangunan Kelantan dinafikan

Mengulas lanjut dengan mengambil contoh pentadbiran PAS di Kelantan, Tuan Ibrahim berkata 27 tahun rakyat di negeri itu ditekan dan dinafikan hak dari segi pembangunan namun tidak sedikit pun mengubah undi rakyat Kelantan yang tetap menyokong PAS.

"27 tahun Kelantan ditekan, rakyat tak berubah malah rakyat tambah simpati bahkan kalau tengok paling tidak logik Lebuhraya Pantai Timur sampai Terengganu, apakah Kelantan tak masuk dalam Pantai Timur?

"Pembangunan Kelantan, lapangan terbang tak dibesarkan walaupun lebih 49 kali penerbangan ke negeri itu. Kelantan baru-baru ini mencatat pencapaian cemerlang dari segi urus tadbir kewangan dengan kerajaan negeri dapat belanjawan yang berlebihan sampai RM48 juta.

"Jadi saya fikir jangan kita menganggap zaman sekarang ini rakyat akan berubah kerana kita tekan. BN anggap bahawa apabila kita menekan kerajaan Kelantan rakyat akan sokong BN, ini satu kesilapan," tegas Tuan Ibrahim.

Justeru, Tuan Ibrahim mengingatkan agar timbalan presiden PKR itu tidak mengambil tindakan yang bakal merugikan diri dan politik beliau sendiri.

"Sebab itu saya yakin Azmin yang dia tidak akan ambil jalan (line) itu, kalau dia ambil juga kemarahan bukan hanya kepada PAS tetapi rakyat akan marah kepada beliau dan parti beliau.

"Soal parti mungkin kita berbeza tapi dari segi hak kita kena tunaikan dan saya masih harap saudara Azmin untuk meneruskan peruntukan sebagaimana yang saya kenal beliau," tambahnya.