Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sindiket penyeludupan migran rentas sempadan tumpas
Diterbitkan:  Feb 10, 2018 6:30 AM
Dikemaskini: 10:34 PM

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket penyeludupan migran rentas sempadan yang aktif di Melaka dengan menahan 13 orang dalam satu operasi bersepadu awal pagi semalam di sekitar Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata mereka yang ditahan ialah seorang lelaki warga Indonesia yang bertindak sebagai tekong darat di Indonesia, seorang lelaki penduduk tetap dan seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai 'transporter' (pengangkut) manakala yang lain adalah orang yang diseludup masuk.

"Turut disita ialah dua kenderaan persendirian jenis sedan dan MPV, dua teksi serta wang tunai dianggarkan berjumlah RM30,000,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mustafar berkata serbuan itu dilakukan hasil perkongsian maklumat perisikan antara agensi secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) berkaitan sindiket penyeludupan migran yang aktif di kawasan Mukim Padang Temu, Melaka.

Kelmarin, katanya JIM telah menggempur kawasan sama melibatkan tapak pembinaan yang hampir dengan persisiran pantai dan dikenal pasti sebagai ‘port’ transit pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk masuk dan keluar ke negara ini secara haram melalui jalan laut yang tidak diwartakan.

Mustafar berkata hasil siasatan mendapati tekong darat menggunakan kenderaan persendirian dan teksi untuk menguruskan penghantaran PATI ke sekitar Lembah Klang dengan tujuan mengaburi pihak penguat kuasa.

"Sindiket ini disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket dan aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran yang mengurus kemasukan warganegara Indonesia dan Bangladesh ke Malaysia di sekitar Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor,” katanya.

Beliau berkata kesemua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Putrajaya, dan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010).

- Bernama

Lihat Komen
ADS