Kementerian tak akan lindungi penguatkuasa langgar etika
Kementerian Pengangkutan tidak akan melindungi pegawai atau anggota agensi penguatkuasaannya yang melanggar etika kerja dan disiplin.
Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau memandang serius terhadap kesalahan anggota penguatkuasa kerana mereka seharusnya memahami etika kerja dan tanggungjawab yang datang bersama dengan lantikan mereka.
“Sesiapa yang pernah berhadapan dengan situasi begini (berhadapan gangguan seksual) diharap dapat membuat aduan untuk kita ambil tindakan tegas ke atas individu yang terlibat. Perbuatan seperti itu tidak patut berlaku.
"Kementerian memang tidak akan melindungi atau berkrompromi dengan mereka yang mencemarkan imej agensi penguatkuasa," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Lawatan Amal anjuran syarikat konsesi lebuh raya, Anih Berhad di Hospital Bentong di Bentong, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan yang tular di media sosial Twitter berhubung keseorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan gangguan seksual kepada seorang remaja perempuan semasa menjalani ujian memandu baru-baru ini.
Remaja berkenaan mendakwa anggota berkenaan sudah dibuang kerja selepas ayahnya membuat aduan dan perkongsiannya di Twitter menyebabkan beberapa netizen turut berkongsi pengalaman yang sama.
Bagaimanapun laporan sebuah portal yang memetik Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman menyatakan pegawai berkenaan telah ditukar ke bahagian lain yang tidak melibatkan ujian memandu, sementara siasatan dijalankan.
Liow juga berkata pihak MCA Bentong telah membuat laporan polis dan berharap tindakan segera dapat diambil ketika diminta mengulas kejadian poster ucapan Tahun Baharu Cina beliau diconteng dengan cat merah di Bukit Dinding di Bentong.
"Saya kesal dengan perbuatan vandalisme yang berlaku sedangkan adalah perkara biasa untuk seorang anggota Parlimen menyampaikan ucapan pada setiap perayaan di kawasannya," katanya.
Mengulas mengenai program itu, Liow yang juga Anggota Parlimen Bentong berharap lebih banyak syarikat konsesi lebuh raya mencontohi Anih Berhad yang mempelbagaikan program berbentuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi membantu golongan kurang bernasib baik.
Liow juga berharap semua pengguna lebuh raya dapat mematuhi Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan pemegang konsesi lebuh raya sempena cuti Tahun Baharu Cina untuk melancarkan aliran trafik.
"Kita harap syarikat konsesi juga akan ambil apa jua tindakan yang dapat melancarkan aliran trafik seperti membuka aliran kontra kerana apa yang penting kita mahu pengguna selesa dan selamat sampai ke destinasi mereka," katanya.
- Bernama

