Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura menolak cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi memperkenalkan pusat pemeriksaan imigresen dan kastam tunggal di Tambak johor.

The Star semalam melaporkan Najib mencadangkan agar mereka yang menuju ke Singapura diperiksa di republik itu, sementara mereka yang menuju ke Johor diperiksa di pusat pemeriksaan di Malaysia.

"Ini merupakan antara cadangan yang sedang dikaji oleh pasukan petugas yang diketuai Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi)," kata Najib di Muar.

Bagaimanapun, MHA Singapura dipetik The Straits Times sebagai berkata "mustahil untuk tidak melalui pemeriksaan imigresen dan kastam (di Singapura) bagi mereka yang ingin ke luar negara."

Ini kerana pemeriksaan sebelum ke luar negara merupakan bahagian penting dalam keselamatan di sempadan Singapura, kata menteri berkenaan.

"Kerajaan Singapura akan terus bekerjasama dengan Malaysia bagi mencari cara lain yang lebih praktikal bagi memudahkan perjalanan antara Singapura dan Malaysia," kata menteri Singapura itu lagi.

Najib mengajukan cadangan itu bagi mengurangkan kesesakan di sepanjang Tambak Johor.

[Baca berita penuh]