Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ceramah HARAPAN di JB batal lepas dihalang penduduk
Diterbitkan:  Feb 11, 2018 8:57 AM
Dikemaskini: 7:32 AM

Ceramah Pakatan Harapan (HARAPAN) di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru malam tadi terpaksa dibatalkan selepas menerima bantahan daripada penduduk tempatan yang marah.

ADUN Stulang Andew Chen Kah Eng mendakwa gangguan itu berpunca daripada Umno dan BN.

"Umno BN telah salah gunakan kuasa mereka sebagai kerajaan untuk menakutkan orang supaya tidak beri ruang kepada kita untuk bertemu dengan rakyat," kata Chen dalam sidang akhbar yang disiar menerusi Facebook dari sebuah kedai makan di Kampung Bakar Batu.

Turut hadir ialah Anggota Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, Setiausaha HARAPAN Johor, Osman Sapian dari BERSATU dan Ketua Penerangan PKR Johor, Akmal Nasir.

Jeritan kemarahan boleh didengar ketika sidang media itu dirakamkan.

Osman mendakwa beliau menghadapi gangguan yang sama oleh pemuda yang memakai baju biru sebelum ini.

"Kalau baju biru, siapa dia. Iaitu orang Barisan Nasional. Pemuda Umno, Pemuda Barisan Nasional," katanya.

Ketika Osman bercakap dalam sidang media itu, seorang lelaki tua yang memakai kopiah putih menyampuk dengan suara yang kuat.

"Tolong jangan lebih-lebih. Cukup. Jangan libatkan Umno, saya tak suka. Jangan guna isu politik mengatakan Umno. Saya penduduk kampung," kata lelaki itu yang bertegang leher dengan Osman

Keadaan kemudian menjadi semakin tegang dan seorang pemuda memakai topi biru memberitahu pemimpin HARAPAN untuk "relaks" dan "kita tak nak kecoh".

Selepas kekecohan itu reda, kamera diarahkan kepada Lim, yang enggan memberi komen sehingga mendapat penjelasan daripada Anggota Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad.

Kumpulan itu kemudiannya beredar dengan aman.

Lihat Komen
ADS