Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Wangsa Maju tangkis dakwaan tak turun padang

Anggota Parlimen Wangsa Maju, Dr Tan Kee Kwong menafikan tuduhan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa beliau tidak pernah dilihat di kawasan itu.

"Tidak, itu tak benar, saya bukan sahaja datang ke sana ketika waktu pilihan raya.

"Saya di sana (di Wangsa Maju) hampir setiap hari, bukan hanya semasa pilihan raya.

"Saya buat kerja saya dengan serius dan saya ada banyak bukti bergambar," katanya kepada Malaysiakini.

Tengku Adnan dalam program yang diadakan di Danau Kota malam tadi mendakwa Tan tidak pernah dilihat di kawasan itu dan individu yang sentiasa hadir membantu penduduk tempatan ialah Ketua Umno bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah.

Shafei tewas kepada Tan pada pilihan raya umum lalu dengan majoriti 5,511 undi.

Selain Tengku Adnan, beberapa penduduk tempatan yang tinggal di flat Danau Kota ketika ditemui Malaysiakini menyokong dakwaan bahawa Tan "tidak pernah dilihat di kawasan itu".

"Memang tak pernah (turun padang). Tak nampak apa-apa program. Cakap, janji nak laksana. Sampai sekarang tunggu, minta jalan tar tak buat. Turun padang tapi cakap je. Bila nak election dia turun," kata penduduk, Sara Alias.

Tan, bagaimanapun, berkata Danau Kota adalah salah satu kawasan terkuat menyokong pembangkang.

Berdasarkan gambar-gambar yang dikirim Tan kepada Malaysiakini, beliau dilihat beramah mesra dengan penduduk tempatan di kawasan Wangsa Maju.

Awal bulan ini, Tan berkata beliau telah mengagihkan buah oren kepada penduduk tempatan yang tinggal di Teratai Mewah dan kampung Lee Kong Chian.

Tan juga mendakwa surau al-Ehsaniah di flat Danau Kota menerima sumbangan daripada Datuk Seri Azmin Ali selepas beliau meminta bantuan daripada menteri besar itu untuk membaik pulih surau berkenaan.

Sementara itu, anggota parlimen PKR itu juga menyalahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana cuba mempolitikkan isu bantuan kepada penduduk.

"Saya minta DBKL lakukan tugas mereka dan tak mempolitikkannya, tetapi bila saya berhubung dengan mereka mengenai hal-hal kawasan seperti masalah jalan berlubang, mereka tak peduli, mereka hanya abaikannya.

"Saya ingin ingatkan mereka bahawa mereka dibayar untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukan BN," tegasnya.

Lihat Komen
ADS