Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IBR: Kenapa S'gor harus berbeza dari negeri lain, soal SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) optimis kerajaan Selangor akan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebelum pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata adalah amat menyedihkan kerana hanya Selangor sahaja belum menandatangani IBR, bagaimanapun pihaknya tidak putus harap mendapatkan satu tarikh yang sesuai bagi menandatangani ikrar berkenaan.

"Jika negeri lain termasuk Pulau Pinang dan Kelantan dapat menunjukkan komitmen mereka dalam menandatangani IBR, mengapa Selangor harus berbeza.

"Kita harap sebelum PRU ini, insya-Allah. Jika Selangor mahu menambah inisiatif dalam IBR ini nanti kami alu-alukan, lebih banyak inisiatif tambahan yang diletak, lebih banyak komitmen yang perlu dibuat kerajaan negeri," katanya kepada pemberita di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan pada program Jimat Belanja Dapur anjuran LembagaPemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan SPRM.

Turut hadir Ketua Pengarah Fama Datuk Ahmad Ishak dan Ketua Pengarah LKIM Datuk M Saedon Ab Majid.

Selain itu, Dzulkifli berkata siasatan berkaitan pemberian tanah di Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor kini dalam peringkat akhir.

"Saya jangka siasatan akan selesai selewatnya bulan hadapan dan kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak pendakwaraya untuk tindakan lanjut," katanya.

Akhbar tempatan sebelum ini melaporkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor mengesahkan wujud pelanggaran syarat dalam pemberian tanahdi kampung itu setelah meneliti segala maklumat yang diperoleh dari Pejabat Tanah dan Daerah dan Pejabat Tanahdan Galian Selangor.

Sementara itu, Ahmad berkata program Jimat Belanja Dapur hari ini merupakan antara usaha Fama dalammembantu kerajaan menangani masalah kenaikan harga barang yang dihadapi pengguna.

"Pada program yang dilaksanakan di Pasar Tani, Kedai Agrobazar, dan Kedai Rakyat 1 Malaysia ini, barangan dapur terpilih dijual pada harga lima hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

"Program ini turut mendapat kerjasama daripada LKIM yang memberikan potongan harga yang istimewabagi ikan segar sejuk beku Q-Fish dan lelongan ikan segar lain," katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS