Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pemuda PAS Kelantan hari ini berkata pihaknya mengemukakan 15 nama sebagai cadangan calon muda pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kepada pimpinan tertinggi.

Ketua Pemuda PAS negeri, Ahmad Fadhli Shaari berkata, cadangan itu sebagai hasrat untuk memenuhi keperluan bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) dan parlimen di Kelantan.

"Kita sentiasa bersiap-sedia untuk memikul amanah parti jika diperlukan, seperti mana mandat presiden PAS pada muktamar lalu untuk memberi ruang yang lebih kepada orang muda sebagai calon.

"Jadi di pihak pemuda kita sudah bersedia dengan senarai calon untuk diketengahkan dan tinggal saja menanti lampu hijau daripada kepimpinan untuk melihat sejauh mana keperluan calon-calon muda ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Penyampaian Cek Perdana Skim Gerbang Az-Ziwaaj kepada 308 pasangan pengantin baru di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Ahmad Fadhli yang juga pengarah urus setia belia dan sukan Kelantan berkata, 15 nama yang dicadangkan itu bukan semata-mata terdiri daripada kepimpinan pemuda PAS negeri.

Sebaliknya kata beliau, mereka juga terdiri daripada tokoh lelaki dan wanita muda daripada luar kepimpinan pemuda PAS.

"Ini sebagai memenuhi inspirasi pengundi-pengundi muda Kelantan yang mencecah hampir 50 peratus, jadi kita cadangkan untuk letakkan calon muda.

"Tetapi kita tidak mempunyai sebarang tekanan kepada kepimpinan kerana yakin pimpinan akan melihat keperluan untuk pertahankan kerajaan negeri itu lebih penting.

"Jika orang muda itu dilihat mampu untuk menggalas tanggungjawab itu mereka akan bagi laluan, kalau tidak itu terpulang kepada kepimpinan," jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya yakin kepada kepimpinan parti untuk membuat keputusan berdasarkan kepentingan bagi mempertahankan kerajaan PAS Kelantan.

Lihat Komen
ADS