Mufti: Tak boleh 'doula' tanpa pemerhatian bidan terlatih
Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini menjawab berkenaan penggunaan khidmat doula dan menyifatkan amalan itu tidak boleh dilakukan tanpa pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih.
Zulkifli berkata demikian susulan kes kematian bayi selepas ibu bayi berkenaan berkeras untuk membuat kelahiran di rumah dengan khidmat doula yang seharusnya membantu kelahiran namun gagal menangani komplikasi kelahiran.
Pihak polis sedang menjalankan siasatan berkenaan perkara itu.
"Setelah meneliti dan menekuni isu ini, disamping mendapatkan maklumat dari pakar perubatan, kami berpandangan penggunaan khidmat doula adalah tidak boleh dilakukan tanpa pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih," kata Zulkifli dalam satu kenyataan.
Zulkifli menambah, alasan aurat tidak seharusnya timbul kerana nyawa lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi seperti itu.
"Alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kini dengan adanya seluar bersalin mesra aurat, hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, di samping perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut," katanya.
Zulkifli turut menasihatkan agar pihak yang menawarkan khidmat doula tidak mengambil mudah tentang pengetahuan perubatan.
Memetik hadis, Zulkifli berkata doula berkenaan akan dipertanggungjawabkan sekiranya mereka tidak mempunyai pengetahuan yang cukup dalam perubatan namun menawarkan khidmat itu.
"Melakukan sesuatu yang membahayakan atau mencalarkan kehormatan dan juga melibatkan harta atau jiwa umat Islam adalah tindakan kezaliman yang diharamkan oleh Allah SWT.
"Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi seperti dalam isu ini dengan merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia agar sebarang tindakan rawatan kesihatan sentiasa dalam keadaan yang selamat," katanya.

