Kempen berterusan Putrajaya untuk memastikan Malaysia dimasukkan dalam program tanpa visa Amerika Syarikat (VWP) tidak nampak akan menyaksikan sebarang kejayaan dalam masa terdekat.

Menurut Duta AS, Kamala Shirin Lakhdhir, pentadbiran Trump tidak nampak akan memasukkan mana-mana negara baru di bawah program ini.

"Saya tidak dapat meramalkan jika terdapat perubahan dalam dasar itu.

"Malaysia dan AS telah bekerja keras berhubung langkah-langkah keselamatan perjalanan, dari segi memastikan pengembara adalah sah dan berusaha tentang maklumat pasport yang hilang atau dicuri," katanya, menurut laporan The Star.

Bagaimanapun, beliau menggesa Malaysia untuk tidak berputus asa.

"Jika ada peluang di masa depan, harapan saya ialah Malaysia akan berada di barisan hadapan," katanya.

Ketika ini, 38 negara layak untuk program VWP dan Putrajaya telah berusaha keras supaya negara ini turut dimasukkan dalam senarai itu, termasuk mengetatkan peraturan imigresen.

Program ini akan membenarkan penduduk dari kedua-dua negara melawat negara satu sama lain selama 90 hari untuk tujuan pelancongan dan perniagaan tanpa memerlukan visa.

Kebimbangan utama AS adalah reputasi Malaysia sebagai tempat transit bagi pengedar dan aktiviti pemerdagangan manusia serta laluan pengganas.

Sekiranya berjaya, Malaysia akan menjadi negara Asean ketiga untuk memenuhi syarat untuk VWP selepas Singapura dan Brunei.