Saman Najib terhadap M’kini: Mahkamah tangguh permohonan
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menangguhkan keputusan permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengketepikan pembelaan dalam saman fitnahnya terhadap Malaysiakini.
Ini kerana Hakim Datuk Wira Kamaludin Md Said sedang menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes lain berhubung sama ada mereka yang memegang jawatan awam mempunyai lokus standi untuk memfailkan saman fitnah.
"Bahawa terdapat keputusan yang masih ditunggu daripada Mahkamah Persekutuan membabitkan kerajaan negeri Sarawak terhadap (Ketua DAP negeri) Chong Chieng Jen mengenai isu lokus standi bagi pihak berkuasa awam untuk memfailkan saman fitnah.
“Penghakiman akan dikeluarkan tidak lama lagi, sama ada menjelang akhir bulan ini atau awal Mac, jadi, permohonan mengketepikan saman akan ditangguhkan hingga 4 April," kata peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun kepada pemberita, hari ini.
Najib dan plaintif lain, Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abdul Rauf Yusoh memfailkan untuk membatalkan pembelaan Malaysiakini dalam saman itu pada 2015.
Saman fitnah itu difailkan tahun sebelumnya, adalah berhubung komen pembaca mengenai kemelut politik di Terengganu.
"Kesan keseluruhan adalah untuk membatalkan keseluruhan pembelaan. Pembelaan itu cukup banyak; justifikasi, keistimewaan yang layak, komen adil.
"Tetapi apa jua, kita perlu menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan.
"Jika mereka kata bahawa mereka yang memegang jawatan awam atau perdana menteri atau ketua menteri tidak boleh memfailkan saman fitnah, maka lenyaplah kes itu.
"Kes di Mahkamah Persekutuan itu sangat penting bagi kita untuk mengetahui sama ada kita mempunyai lokus standi untuk memfailkan (saman fitnah)," kata Hafarizam.
Saman itu difailkan oleh Najib selaku presiden Umno dan Ab Rauf terhadap Mkini Dotcom Sdn Bhd; Ketua Editor Malaysiakini, Steven Gan dan bekas Ketua Pengarang, Fathi Aris Omar, berhubung penerbitan dua artikel.
Ia berhubung kompilasi komen pembaca dalam dua artikel 'Yoursay' yang disiarkan pada 14 Mei, bertajuk ‘A case of the PM reaping what he sows’ dan ‘How much will Najib spend to keep Terengganu?’.

