Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bapa nafi Vasanthapiriya pernah cederakan diri sendiri
Diterbitkan:  Feb 12, 2018 5:08 PM
Dikemaskini: 9:48 AM

Keluarga pelajar tingkatan dua yang membunuh diri tempoh hari, M Vasanthapiriya hari ini menyelar Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan kerana mendakwa anaknya itu mempunyai sejarah untuk mencederakan diri sendiri.

Dalam sidang akhbar yang dianjurkan oleh NGO Malaysian Tamilar Kural, bapanya, R Muniandy membidas Kamalanathan kerana didakwa berkata bahawa Vasanthapiriya pernah memotong pergelangan tangannya pada 2016.

"Kepada Kamalanathan, saya kenal anak perempuan saya, dia tidak pernah melakukan perkara seumpama itu. Dia tidak pernah mencederakan diri sendiri, apalagi memotong pergelangan tangannya. Jika dia melakukannya, sudah tentu akan ada rekod polis atau rekod hospital atau klinik.

"Kamu boleh semak, tidak ada satu pun," katanya dalam sesi siaran langsung di laman Facebook NGO berkenaan.

Akhbar The Sun Daily memetik laporan kaunselor yang dikatakan menasihati keluarga remaja itu untuk mendapatkan bantuan perubatan selepas dia didakwa memotong pergelangan tangannya pada 2016.

Apabila ditanya mengenai perkara ini, Kamalanathan (foto, atas) menjawab: "Ya, pada 2016, dia memotong pergelangan tangannya," sambil menambah bahawa laporan telah diserahkan kepada polis tetapi keluarga gadis itu tidak mengikuti nasihat kaunselor itu.

Kamalanathan turut memberitahu akhbar itu bahawa "satu-satunya kesilapan" guru perempuan yang terpalit dalam kes itu ialah "menghantar pelajar itu dari sekolah ke rumah seorang kawan, yang bukan tugasnya."

Pelajar sekolah di Nibong Tebal, Pulau Pinang yang berusia 14 tahun itu dijumpai mati tergantung dengan selendangnya pada 24 Januari lalu selepas guru itu mendakwa dia mencuri.

Walaupun bapanya bergegas membawa remaja itu ke hospital, Vasanthapiriya terus tidak sedarkan diri dan meninggal dunia akibat kecederaan otak seminggu kemudian.

Dia juga meninggalkan nota tulisan tangan yang menyatakan kasih sayang kepada ibu bapanya dan menafikan dirinya mencuri.

Guru itu didakwa mengunci remaja itu di bilik berseorangan dengan tujuan mendapatkan pengakuan, sebelum menghantarnya pulang.

Presiden Tamilar Kural Malaysia, David Marshel mempersoalkan mengapa Kamalanathan memilih untuk membebaskan guru itu dari apa jua kesalahan, sedangkan penyiasatan jabatan pendidikan negeri Pulau Pinang belum selesai.

"Kamalanathan tidak bertanggungjawab, beliau bukan menteri kesihatan mahupun menteri dalam negeri. Dia bukan juga ahli psikologi atau doktor.

"Kami tidak tahu bagaimana dia dapat mesej itu (bahawa Vasanthapiriya cuba bunuh diri sebelum ini). Polis perlu soal Kamalanathan kerana dia seperti mengetahui perkara-perkara tertentu yang malah tidak diketaui oleh keluarga gadis itu," katanya.

Menurut Marshel, polis pulau pinang telah memaklumkan kepada keluarga pelajar itu bahawa inkues koroner akan ditubuhkan untuk menyiasat kematian remaja itu.

"Keluarga mengalu-alukan langkah itu kerana inkues seperti itu dapat melihat sebab (kematian) dari pelbagai sudut, termasuk sama ada prosedur operasi standard dipatuhi."

Lihat Komen
ADS