Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Jaik bayar gaji guru Kafa lepas dapat peruntukan pusat

Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) akan membayar gaji kepada hampir 3,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di negeri ini dalam masa terdekat.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata sebaik sahaja peruntukan daripada kerajaan persekutuan selesai diagihkan, ia akan terus disalurkan untuk membayar gaji guru-guru Kafa.

"Peruntukan ini kita dapat daripada kerajaan Persekutuan, jadi memang perlu tunggu tambahan pada awal-awal tahun ini. Mereka akan dapat gaji bulan Januari dan Februari tapi kita minta mereka sabar sementara peruntukan itu disalurkan.

"Kita tidak pernah lupa pada guru-guru Kafa ini dan kalau duit dapat, tak akan kita hendak simpan," katanya ketika diminta mengulas mengenai aduan guru-guru Kafa berhubung kelewatan pembayaran gaji bulan Januari yang tular di laman sosial, semalam.

Terdahulu, Ahmad Bashah merasmikan majlis perjumpaan Anggota Jawatankuasa Masjid Seluruh Negeri Kedah dan pelancaran Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) Masjid yang turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Pada 18 Jan lalu, Ahmad Bashah memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi memperkasa peranan insitusi masjid menerusi program Barakah Masjid yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2018.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata Kedah menerima peruntukan khas kira-kira RM9.8 juta daripada kerajaan persekutuan untuk disalurkan kepada imam, bilal dan siak di negeri ini.

"Kedah merupakan negeri pertama yang menerima peruntukan daripada kerajaan Persekutuan secara rasmi hari ini.

"Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana prihatin terhadap golongan ini yang berada di hadapan dalam menjaga dan menerajui institusi agama Islam," katanya. -Bernama

​​​​​​​

Lihat Komen
ADS