Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Konsulat Indonesia pandang serius kes amah mati didera

Pembantu rumah warga Indonesia yang mati dipercayai akibat didera majikannya di Taman Kota Permai 2, di Bukit Mertajam semalam, telah bekerja dengan keluarga itu sejak 2014 menerusi sebuah agensi pekerja asing di Pulau Pinang.

Wakil Konsulat Indonesia di Pulau Pinang Neni Kurniati berkata Adelina Lisio, 28, tidak pernah membuat aduan kepada pihak konsulat berhubung majikannya sepanjang bekerja di situ dan pembantu rumah berkenaan sebelum ini pernah bekerja dengan majikan lain.

"Kami memandang serius kejadian dera yang dialami mangsa dan berharap pembelaan sewajarnya ke atas Adelina. Pihak konsulat juga akan memberi kerjasama penuh kepada polis dan pihak berkuasa di Malaysia bagi membantu kes itu," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) di Bukit Mertajam hari ini.

Adelina yang mengalami kecederaan parah termasuk luka dan lebam di badan, mati ketika dirawat di Hospital Bukit Mertajam pada pukul 4.45 petang semalam dan mayatnya dihantar ke HSJ untuk bedah siasat.

Wanita itu ditemui kira-kira 8 malam Sabtu selepas polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada seorang lelaki yang juga pembantu kepada Anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Lim dan ekoran itu polis menahan seorang lelaki dan adik perempuannya berusia 36 dan 39 tahun yang merupakan majikan mangsa bagi membantu siasatan.

Neni Kurniati berkata keluarga Adelina yang tinggal di Nusa Tenggara, Kalimantan di Indonesia belum mengetahui kejadian yang menimpa wanita berkenaan kerana pihaknya gagal menghubungi mereka.

“Wakil kami telah pergi ke alamat yang terdapat pada pasport wanita itu namun gagal menemui keluarganya dan usaha mengesan mereka masih dijalankan.

"Urusan membawa pulang jasad mendiang akan dibuat selepas semua proses bedah siasat oleh hospital dan siasatan yang dijalankan polis selesai. Kami harap ia dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat," katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS