Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tindakan sewajarnya ke atas majikan dera amah - Rohani

Kerajaan akan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap majikan disyaki mendera pembantu rumah warga Indonesia sehingga menyebabkan kematian, supaya keadilan dapat ditegakkan.

Sambil melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap mangsa, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata kerajaan tidak akan bertoleransi terhadap perlakuan tidak berperikemanusiaan itu.

"Malaysia adalah negara berdaulat dan menghormati hak manusia. Perlembagaan Malaysia menjamin hak berasa selamat dan dilindungi pada setiap masa tidak kira mereka warga tempatan atau warga asing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kes Adelina Lisio, 28, yang meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam pada Ahad lepas, setelah dipercayai didera di suatu alamat di Taman Kota Permai 2, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Menurut laporan, beberapa jiran mendakwa wanita berkenaan dipaksa tidur bersama seekor anjing jenis Rottweiler di anjung sebuah rumah selama lebih sebulan sebelum dia ditemukan pada Sabtu.

Menurut Rohani, kes penderaan terhadap pembantu rumah adalah perbuatan tidak berperikemanusiaan dan melanggar norma-norma manusia serta tidak beretika oleh pihak majikan.

Beliau berkata kejadian seumpama itu amat serius dan perlu ditangani semua pihak agar insiden yang sama tidak berulang.

Justeru, beliau meminta masyarakat untuk turut membantu jika mengesyaki atau mengenal pasti kes-kes sedemikian di kawasan masing-masing.

Rohani berkata kementerian itu akan terus menyokong pembantu rumah yang kebanyakannya wanita melalui beberapa langkah antaranya menyediakan talian KASIH 15999 untuk melaporkan kes penganiayaan dan menyediakan perlindungan kepada mangsa.

Selain itu, turut diberikan adalah perkhidmatan kaunseling terhadap pembantu rumah mengalami tekanan daripada majikan di samping menangani tekanan dalam keluarga yang boleh menjurus kepada perbuatan keganasan terhadap pembantu rumah, katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS